Anda di sini

Dagangan Bursa Malaysia dijangka kekal berhati-hati, pantau perkembangan ekonomi AS, China

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diunjur bergerak di bawah paras psikologi 1,400 minggu depan dengan minat risiko pelabur terus ditentukan oleh perkembangan ekonomi di Amerika Syarikat dan China.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dagangan dijangka kekal berhati-hati kerana pelabur masih bimbang dengan kemajuan pertumbuhan dua gergasi ekonomi itu walaupun pemulihan sederhana telah dilihat dalam ekuiti domestik pada akhir minggu, dipacu oleh kegiatan memburu saham murah.

Selain itu, data ekonomi utama yang akan dipantau dengan teliti minggu depan ialah imbangan dagangan China dan AS, katanya kepada Bernama.

China akan mengeluarkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) perkhidmatan May Caixin, manakala AS akan mengumumkan pesanan kilang bagi bulan April dan indeks perrkhidmatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) untuk bulan Mei.

"Kami meramalkan FBM KLCI akan berada dalam aliran julat 1,380-1,395 untuk minggu depan," katanya.

Seorang penganalisis lain berkata para menteri Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) akan bermesyuarat untuk memutuskan langkah dasar pengeluaran minyak mereka yang seterusnya pada 4 Jun, hanya sehari sebelum tarikh akhir had hutang AS pada 5 Jun.

Beliau berkata pasaran mengunjurkan kemungkinan pengeluaran dikurangkan berpandu kepada harga minyak semasa dengan Brent berlegar sekitar US$75 setong untuk meningkatkan harga, dan ini dilihat baik untuk negara pengeluar seperti Malaysia dan dorongan kepada saham tenaga.

Sepanjang minggu ini, sentimen risiko domestik dan global hambar selepas aktiviti kilang China semakin lemah pada bulan Mei, menunjukkan pemulihan ekonomi yang agak goyah disebabkan ketidakpastian yang dicetuskan oleh kemelut berkisar perjanjian had hutang AS.

AS dan China adalah rakan dagangan terbesar kepada Malaysia.

Pada minggu ini, Bursa Malaysia kebanyakannya diniagakan rendah.

Bagi perbandingan mingguan Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI merosot 21.72 mata untuk mengakhiri minggu dagangan pada 1,381.26 daripada 1,402.98 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 89.30 mata kepada 10,207.17, Indeks FBMT 100 susut 94.18 mata kepada 9,908.45 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 78.17 mata kepada 10,590.86.

Sebaliknya, Indeks FBM 70 melonjak 124.64 mata kepada 13,604.64 manakala Indeks FBM ACE menambah 89.36 mata kepada 5,070.26.

Mengikut sektor,  Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 210.48 mata kepada 15,093.95, Indeks Perladangan merosot 130.70 mata kepada 6,624.56 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 4.30 mata kepada 159.78.

Indeks Tenaga pula meningkat 2.97 mata kepada 811.28.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 15.20 bilion unit bernilai RM12.90 bilion berbanding 12.60 bilion unit bernilai RM9.06 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 10.20 bilion saham bernilai RM11.50 bilion berbanding 8.01 bilion saham bernilai RM7.80 bilion pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.42 bilion unit bernilai RM188.45 juta daripada 1.60 bilion unit bernilai RM222.39 juta seminggu yang lalu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula meningkat kepada 3.57 bilion saham bernilai RM1.21 bilion daripada 2.95 bilion saham bernilai RM875.29 juta minggu lepas. - BERNAMA
 

Advertisement