Anda di sini

Anwar bangkit isu tandas sekolah rosak, kotor yang tiada kesudahan

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membangkitkan mengenai isu tandas sekolah kotor yang disifatkannya sebagai tidak berkesudahan.

Katanya beliau tahu mengenai keadaan tandas sekolah yang kebanyakan rosak dan kotor namun kemudahan asas itu kekal tidak terjaga seolah-olah dibiarkan oleh pihak yang bertanggungjawab sehingga ada murid tidak ke tandas sepanjang waktu persekolahan.

"Saya telah arahkan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) semak, bahawa tandas di sekolah banyak yang rosak, berpuluh tahun tapi tidak ada siapa yang peduli. 

"Sekarang saya kata bagaimana nak hantar anak kita ke sekolah tapi tandas pun tidak ada," katanya ketika berucap merasmikan medan selera D'Anjung Selera MADANI di Bandar Tun Razak dekat sini hari ini.

Mengimbau kenangan ketika beliau menjawat Menteri Pendidikan pada 1986 sehingga 1991, Anwar berkata aspek kebersihan tandas merupakan antara perkara yang diberikan keutamaan antaranya mengarahkan sekolah melaksanakan giliran murid membersihkan tandas.

Anwar berkata langkah itu menyebabkan ada ibu bapa 'kelas atasan' menghantar telegram kepadanya yang mempersoalkan tindakan itu kerana pada mereka, anak-anak dihantar ke sekolah untuk belajar bukannya mencuci tandas.

Perdana Menteri berkata anak-anak di sekolah perlu dididik aspek kebersihan termasuk dilatih melaksanakan aktiviti mencuci tandas sebagai satu daripada aspek pembelajaran dan ia perlu dilaksanakan tanpa mengira kedudukan ibu bapa mereka. 

"Kalau anak kita dilatih untuk cuci tandas dia tahu bagaimana ibu bapa dia buat kerja di rumah. Dia akan hargai tukang cuci di jalanan atau di tandas-tandas awam bahawa ada nilai bagi setiap kerja yang dibuat," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement