Anda di sini

Piala Pesta Kaamatan RSTC jadi tumpuan Ahad ini

Advertisement
 Piala yang bakal menjadi rebutan pada perlumbaan Pesta Kaamatan RSTC 2023.
JADI REBUTAN: Piala yang bakal menjadi rebutan pada perlumbaan Pesta Kaamatan RSTC 2023.

KOTA KINABALU: Padang Lumba Kuda Tambalang Tuaran akan menjadi tumpuan pada Ahad ini apabila beberapa kuda terbaik akan bersaing untuk menjadi juara pada perlumbaan Piala Pesta Kaamatan 2023.

Dianjurkan oleh Kelab Lumba Kuda Diraja Sabah (RSTC), piala Pesta Kaamatan akan menjadi acara utama pada hari berkenaan dengan hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 disediakan kepada pemenang.

Perlumbaan terbuka kepada kuda Kelas Satu dan Kelas dua dengan 'rating' diantara 69 sehingga 121, dimana 11 ekor kuda bersama joki masing-masing akan bersaing untuk trek sejauh 1,400 meter.

Pengerusi RSTC Datuk Peter Chin berkata, Coronation II, One Kinabalu dan Smart Lad adalah pilihan pada perlumbaan berkenaan yang dijangka bermula pada 4.05 petang.

Katanya, juara acara utama berkenaan akan menerima RM21,000, manakala tempat kedua sehingga keenam masing-masing akan membawa pulang RM8,200, RM4,000, RM1,800, RM800 dan RM250.

Menurutnya, joki yang menang akan membawa pulang RM2,100, diikuti RM800, RM400, RM200, RM100 dan RM50 untuk tempat kedua sehingga keenam.

"Acara Ahad ini juga akan melibatkan tiga perlumbaan lain. Pertandingan akan dimulakan dengan perlumbaan permulaan iaitu Handicap Penampang dan Aramaiti Handicap yang meliputi jarak 1,100m di trek pasir.

"Ia kemudian diikuti dengan acara utama Piala Pesta Kaamatan sebelum hari berakhir dengan Piala Cabaran Kaamatan yang dijangka bermula pada 5:05 petang," katanya.

Katanya, perlumbaan 1,100m di trek pasir terbuka kepada kuda Kelas Tiga dan Kelas Empat dengan 'rating' antara 32 sehingga 66.

Tambahnya, 12 ekor kuda akan terlibat dalam perlumbaan terakhir pada hari berkenaan.

 
  • oleh
  • Advertisement