Anda di sini

HAWANA 2023 berjaya, punya aura tersendiri

Advertisement
 Sebahagian wartawan bergambar dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah seusai santapan malam di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
ALBUM: Sebahagian wartawan bergambar dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah seusai santapan malam di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.


SAMBUTAN Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 sudah melabuhkan tirai. Tiga hari berkampung di Ipoh, Perak, meninggalkan sejumlah kenangan. Abadi dan mekar. Indah lagi mengesankan.

Perkampungan wartawan terbesar itu mengukir sejarah tersendiri. Pengisian terbaik. Program tersusun kemas. Mantap dan sungguh luar biasa.

Lebih penting, keberhasilan HAWANA berjaya menyingkap perjuangan kewartawanan di medan siber, di tengah arus digitalisasi. Suara lantang dan nyaring jelas kedengaran.

Dua sesi forum penting menunjangi HAWANA kali ini. Tema yang diangkat cukup berat. Tapi hebat sifatnya.`Survival of traditional media in the digital era' dan `Journalism in the digital age'. Kelangsungan kehidupan era globalisasi.

 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika penyampaian cek sumbangan Tabung Kasih@Hawana sempena kemuncak HAWANA 2023. Turut kelihatan Menteri Besar Perak Dato Seri Saarani Mohamad dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
BANTUAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika penyampaian cek sumbangan Tabung Kasih@Hawana sempena kemuncak HAWANA 2023. Turut kelihatan Menteri Besar Perak Dato Seri Saarani Mohamad dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Kupasan daripada panel yang hebat-hebat sungguh membekas, apalagi dengan moderator pilihan yang tangkas dan bijaksana, menjadikan arena forum sentiasa segar dan berwarna-warni.

Yang pasti, rata-rata pandangan mengakui bahawa media tradisional kini sedang diancam kemunculan media sosial. Kesannya parah bukan kepalang. Kerugian pendapatan sangat terasa, tatkala jualan menjunam dan pengiklanan merudum.

Media tradisional belanja ongkosnya bukan sedikit, sedang media sosial kadarnya kecil tapi untungnya besar. Sebab itu, dirungkaikan pentingnya organisasi berita menghasilkan laporan yang mampu menarik perhatian umum, demi mengimbangi derasnya rempuhan arus digitalisasi.

 Perdana Menteri mengetuai tetamu kehormat dalam acara memotong kek ulangtahun ke-56 BERNAMA sempena HAWANA di Ipoh, Perak.
ULANG TAHUN: Perdana Menteri mengetuai tetamu kehormat dalam acara memotong kek ulangtahun ke-56 BERNAMA sempena HAWANA di Ipoh, Perak.

HAWANA memasuki edisi ketiga tahun ini. Ia bermula pada 2018. Kemudian dilapangkan tiga kali akibat pandemik COVID-19 dalam kegersangan politik pasca pilihan raya, sebelum disambung semula di Melaka tahun lepas.

Di Indonesia, Hari Pers Nasional (HPN) sudah lama berakar-umbi. Sambutannya diadakan tanggal 9 Februari setiap tahun, bergilir antara provinsi. Yang terbaru tahun ini diadakan di kota Medan, Sumatera Utara (Sumut).

Sebagaimana HPN yang acaranya diawali jamuan malam bersama Gurbernur, HAWANA 2023 membuka tirai dengan santapan istimewa bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

 Perdana Menteri menyampaikan replika cek Tabung Kasih@Hawana kepada Editor portal berita Independent.my, Haron Shafei, sempena HAWANA 2023.
DIHARGAI: Perdana Menteri menyampaikan replika cek Tabung Kasih@Hawana kepada Editor portal berita Independent.my, Haron Shafei, sempena HAWANA 2023.

Alunan muzik perlahan dan nyanyian merdu artis undangan mengiringi jamuan di Dewan Santapan. Sungguh menghiburkan. Dalam suasana santai malam, tetamu menjamu pelbagai menu istimewa, termasuk Nasi Biryani Vanggey yang popular dan sinonim di Ipoh.

Di meja utama, Sultan Perak duduk dengan wartawan undangan pelbagai industri, sambil berdiskusi dan berinteraksi bermacam topik.

Di penghujung majlis, pengamal media mengambil ruang kesempatan berfoto dan berswafoto dengan Sultan Perak yang sememangnya terkenal dengan keramahan baginda bersama semua segmen masyarakat.

 Sebahagian wartawan yang menghadiri HAWANA 2023 bergambar dengan Fahmi dan Teo.
SAHABAT MEDIA: Sebahagian wartawan yang menghadiri HAWANA 2023 bergambar dengan Fahmi dan Teo.

Hari pertama HAWANA turut menyaksikan pelbagai acara sampingan diadakan, termasuk pertandingan mencari harta karun KL-Ipoh, boling dan pameran oleh pelbagai industri media.

Acara hari pertama selesai penuh kenangan. Media sosial para wartawan dibanjiri himpunan foto-foto indah pelbagai acara yang diadakan. Paling trending tentunya gambar bersama Sultan Nazrin.

Secara keseluruhan, HAWANA 2023 mencatat sejarah dengan kehadiran hampir 1,000 pengamal media seluruh negara serta sejumlah undangan dari negara serantau.

 Roslan (dua kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Fahmi selepas perasmian forum media HAWANA 2023.
CENDERAKENANGAN: Roslan (dua kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Fahmi selepas perasmian forum media HAWANA 2023.

`Media bebas, tunjang demokrasi' diangkat sebagai tema HAWANA 2023 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan didukungi kuat oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Kerajaan Negeri Perak.

Kelangsungan media tradisional yang merujuk kepada akhbar arus perdana, menjadi topik bualan hangat pada acara kemuncak HAWANA. 
Ada tanggapan tentang masa depan yang suram. 

Tapi ada juga melihat cabaran teknologi terkini sebagai sesuatu yang menguntungkan media arus perdana. Persoalan yang dilontar, bagaimana menyesuaikan kehidupan tradisional dalam suasana konvensional dengan kemajuan teknologi.

 Ketua Program Bahasa Inggeris BERNAMA TV, Gerard Ratnam (kiri) mengendalikan sesi forum bersama empat panel.
MINDA MEDIA: Ketua Program Bahasa Inggeris BERNAMA TV, Gerard Ratnam (kiri) mengendalikan sesi forum bersama empat panel.

Pada kemuncak HAWANA 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis dan menyatakan bahawa surat khabar tetap mempunyai peranan penting dalam menyalurkan maklumat, sekali gus  berpotensi untuk bertahan jika mengekalkan mutu dan integritinya.

Anwar berkata walaupun media sosial kini mengambil alih peranan akhbar fizikal, namun beliau masih berpandangan surat khabar mempunyai peranan yang lebih tinggi dan wajar berbanding media sosial.

 Pengarah Projek HAWANA, Arul Rajoo menyambut ketibaan Perdana Menteri untuk merasmikan HAWANA 2023.
SAMBUTAN: Pengarah Projek HAWANA, Arul Rajoo menyambut ketibaan Perdana Menteri untuk merasmikan HAWANA 2023.

"Saya masih mewakili fikiran lama, saya masih setiap hari selain melihat sedikit perkembangan di media sosial, saya masih wajib membaca surat khabar setiap hari," katanya ketika berucap HAWANA 2023.

Soal kebebasan media, Perdana Menteru menegaskan bahawa kewartawanan di negara ini harus diberi kebebasan dalam erti kata sebenar.

Baginya, media tidak semestinya terlalu memuji kerajaan dan membantai pembangkang, seperti dilakukan sebelum ini.

 Lichong (dua kiri) menitipkan akhbar Utusan Borneo kepada Presiden ISWANI Indonesia, Asro Kamal Rokan dan CEO MPI, Datuk Dr Chamil Wariya (dua kanan) disaksikan delegasi dari Indonesia.
RAKAN SERUMPUN: Lichong (dua kiri) menitipkan akhbar Utusan Borneo kepada Presiden ISWANI Indonesia, Asro Kamal Rokan dan CEO MPI, Datuk Dr Chamil Wariya (dua kanan) disaksikan delegasi dari Indonesia.

Menurutnya, pengkritik kerajaan harus diberikan ruang untuk menyatakan pandangan secara terbuka.

"Saya dan rakan-rakan dalam pimpinan kerajaan buat keputusan sangat jelas bahawa media di Malaysia harus bebas," tegasnya.

Di penghujung ucapan, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan bagi membantu pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

 Lichong (tengah) bersama pimpinan Presiden ISWAMI, Datuk Mokhtar Hussin (kanan), Penasihat ISWAMI, Datuk Zakaria Wahab (kanan), CEO MPI, Datuk Dr Chamil Wariya (dua kanan) dan jawatankuasa ISWAMI, Hakimi Z Mohd Zain (kiri).
ISWAMI MALAYSIA: Lichong (tengah) bersama pimpinan Presiden ISWAMI, Datuk Mokhtar Hussin (kanan), Penasihat ISWAMI, Datuk Zakaria Wahab (kanan), CEO MPI, Datuk Dr Chamil Wariya (dua kanan) dan jawatankuasa ISWAMI, Hakimi Z Mohd Zain (kiri).

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif KKD dan dilaksanakan menerusi BERNAMA, sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan kesukaran dan cabaran hidup.

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan daripada tabung berkenaan kepada tiga wartawan veteran di Perak iaitu bekas pemberita bebas Ou So Ha @ Ou Kok Meng, 74, pemberita sambilan akhbar Tamil Malar V Maniam, 76, dan Editor portal berita Independent.my, Haron Shafei, 65.

Terdahulu pada sebelah pagi, cerita mengenai cabaran media tradisional terus menjadi topik bualan lebih 100 peserta dua forum HAWANA di Hotel Casuarina@Meru.

 Sebahagian jurufoto yang hadir merakam gambar sempena HAWANA 2023.
HEBAT: Sebahagian jurufoto yang hadir merakam gambar sempena HAWANA 2023.

Forum berkenaan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Turut hadir Timbalan Menteri, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BERNAMA, Roslan Ariffin.

Cerita berkenaan panas dibualkan lantaran media tradisional kini di ambang kegawatan akibat arus digital yang meluncur laju. Demi kelangsungan, mahu tidak mahu, media tradisional perlu menyesuaikan diri.

Malah, Fahmi sendiri dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa media tradisional tidak mempunyai pilihan selain berubah mengikuti arus perkembangan teknologi.

Mengakui kebangkitan media sosial sebagai sumber utama berita dan hiburan, maka media perlu berinovasi dan mengikuti arus perubahan.

Ini termasuklah mengguna pakai teknologi baharu serta menerima platform dalam talian, selain memastikan mereka kekal mempunyai kandungan yang menarik serta penceritaan yang hebat.

Fahmi menegaskan bahawa media tradisional juga perlu bersedia untuk berubah berikutan perubahan yang besar dalam dunia media dan bersedia untuk mengikuti perkembangan semasa sekaligus bersedia untuk mengubah cara pada masa akan datang.

“Anjakan paling ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini ialah kebangkitan media sosial sebagai sumber utama berita dan hiburan.

“Platform dalam talian seperti Facebook, Twitter, Instagram dan kini, TikTok telah menjadi destinasi pilihan ramai orang apabila mereka ingin mengetahui apa yang berlaku di dunia atau mengikuti rancangan kegemaran mereka," katanya.

LOGO HAWANA
LOGO HAWANA

Kesimpulannya, HAWANA 2023 dianggap berjaya kerana sambutan luar biasa penggiat dunia kewartawanan bersama pakar-pakar industri bukan saja di Malaysia, tapi juga dari negara-negara sahabat dan serantau. HAWANA mempunyai aura tersendiri.

Biarpun tiada ketetapan dan resolusi konkrit disepakati, namun HAWANA 2023 telah mencetuskan semangat dan iltizam baharu dalam komuniti kewartawanan tradisional untuk bangkit menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dunia tanpa sempadan.

Semoga keberhasilan dalam perkampungan HAWANA tahun ini membawa keterangkuman lebih padu dalam mengharungi cabaran dunia era digitalisasi.

HAWANA 2023 melabuhkan tirai. Para delegasi sudah pun pulang. Semoga ketemu lagi di HAWANA tahun hadapan.

Keliling Ipoh berbukit-bukit
Bukit tinggi di Jalan Kledang
Jasa HAWANA bukan sedikit
Dari dahulu sampai sekarang


Dari Sabah datang bersidang
Tengah hari menjamah nasi
Ayuh kita terus berjuang
Media Bebas Tunjang Demokrasi

 
Advertisement