Anda di sini

Forum hurai objektif, gagasan Malaysia Madani, halatuju kerajaan Sabah

Advertisement
 Sapawi semasa berucap pada Forum Malaysia Madani.
BERUCAP: Sapawi semasa berucap pada Forum Malaysia Madani.
 Forum Malaysia Madani mendapat sambutan memberangsangkan.
MERIAH: Forum Malaysia Madani mendapat sambutan memberangsangkan.

KUDAT: Forum Malaysia Madani berjaya menghurai secara terperinci berkenaan objektif serta gagasan Malaysia Madani serta halatuju kerajaan negeri Sabah, ‘Sabah Maju Jaya’.

Yang Dipertua Usia Datuk Sapawi Ahmad berkata kedua-dua gagasan dan pendekatan ini sangat holistik dan amat perlu untuk dihadam oleh rakyat supaya manfaatnya akan lebih terasa. 

“USIA dan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) Jabatan Ketua Menteri, merasa teruja dengan peranan yang diamanahkan untuk melaksanakan Forum Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya ini,” katanya semasa berucapa pada Forum Malaysia Madani: Keharmonian Dalam Kepelbagaian bagi Peringkat Zon Pantai Barat Utara di sini semalam.

Bercakap lanjut mengenai forum terbabit, Sapawi berkata pemilihan Kudat sebagai tuan rumah Forum Malaysia Madani ini disebabkan daerah ini adalah tempat bersejarah memandangkan di sini lahirnya seorang Pejuang Ulung Kemerdekaan Sabah iaitu Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun. 

“Individu yang bersemangat kental ini juga mengilhamkan penubuhan USIA demi untuk memartabatkan perjuangan Islam.  

“Peranan penting ini kemudian diteruskan oleh pemimpin USIA hinggalah ke era ini dan saya juga diamanahkan untuk memimpin USIA.

“Jika dihayati perjuangan Almarhum, jelaslah bahawa cita-cita dan impian beliau tidak jauh bezanya dengan aspirasi kepimpinan yang ada pada masa ini iaitu Malaysia Madani,” katanya.

Menurutnya Forum Malaysia Madani bagi Zon Pantai Barat Utara ini adalah siri ketiga daripada enam siri Forum Malaysia Madani yang dirancang oleh USIA bersama dengan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-tugas Khas) Jabatan Ketua Menteri. 

“Forum pertama diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 09 Mac lalu dan siri kedua disempurnakan di Sandakan pada 17 Mei dan dihadiri hampir 1000 orang peserta dan mendapat sambutan luar dugaan.

“Sebenarnya matlamat untuk menganjurkan Forum Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya ini dipersetujui oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor semasa rombongan USIA mengadakan perbincangan Februari lalu.

“Malah USIA satu-satunya NGO yang terawal menyahut seruan untuk menjelaskan Gagasan Malaysia Madani kepada masyarakat di Sabah,” katanya.

Tambahnya walaupun USIA hanyalah sebuah NGO, tetapi peranan dan tanggungjawab Pertubuhan ini meliputi aspek Pembangunan Ummah serta memelihara hubungan baik dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah.

“Sudah tentu selaku Yang Dipertua USIA, saya merasa gembira kerana Pertubuhan ini diberi tanggungjawab untuk membincangkan Gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Secara ringkasnya, Gagasan Malaysia Madani memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan selain bertujuan mengangkat martabat manusia dan menegakkan keadilan menjadi asas penting dalam konteks falsafah negara Madani,” katanya.

Katanya tiga ahli panel akan menghuraikan Gagasan Malaysia Madani dengan lebih terperinci iaitu Datuk Dr. Amin Senin mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdul Rahman Yakub dan Ahli Majlis Tertinggi  USIA Ustaz Rafaeh Enarji dengan Moderator dari Bahagian Pantai Barat Utara Mohd Ibnu Fakri Vermond yang akan mengendalikan forum.

Tambahnya USIA Pusat akan terus berjuang menjaga kepentingan umat Islam sepertimana yang terkandung dalam matlamat  perjuangan USIA yang umumkan oleh Almarhum Tun Datu Mustapha semasa mengumumkan penubuhan di Kota Kinabalu 54 tahun lalu.  

“USIA Pusat akan tetap bersama dengan semua USIA Bahagian khasnya USIA Kudat untuk melihat supaya martabat, imej dan matlamat Pertubuhan kita ini kekal relevan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement