KOTA KINABALU: Seramai 14,855 warga asing didaftarkan di dalam projek pendataan pilot di beberapa ladang kelapa sawit milik Kumpulan Syarikat Sawit Kinabalu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan berkata dapatan ini akan dibawa ke dalam Mesyuarat Jemaah Menteri 14 Jun depan sebelum melaksanakan proses pendataan seterusnya.
“Proses pendataan yang membabitkan semua warga asing melibatkan semua pemegang kad IMM13, Sijil Banci MKN, Dokumen JKM (Burung-Burung) dan semua warga asing yang bekerja di Sabah berjaya diselesaikan.
“Sebaik laporan ini disampaikan kepada mesyuarat Kabinet kita akan melaksanakan pendataan lain yang dijangka akan siap sepenuhnya pada hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet di Penerangan Sabah di Pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.
Katanya sepanjang proses pendataan dijalankan, pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada pihak majikan dan pekerja ladang sendiri.
“Hasil dapatan menunjukkan setengah daripada jumlah itu adalah dalam kalangan pekerja asing yang sah bagaimanapun sebahagian besar termasuk tanggungan adalah tidak sah untuk bekerja di negara ini.
“Proses pendataan meliputi keseluruhan kawasan di Sabah termasuk kawasan setinggan dan pulau, bagaimanapun kita akan menjalankan proses berasingan kepada golongan palauh berikutan keadaan mereka berbeza berbanding warga asing yang datang ke negara ini,” katanya.
Semasa ditanya sama ada prose terbabit adalah dijalankan bersama agensi penguatkuasa serta pihak keselamatan, beliau berkata pihaknya hanya melakukan pendataan dan tidak membabitkan operasi berkaitan penguatkuasaan.
“Prosedur pendataan memerlukan kita mengambil data yang terperinci dan semestinya memerlukan ketersediaan daripada warga asing itu sendiri.
“Buat masa ini kita menjalankan proses pendataan tanpa membabitkan agensi lain, bagaimanapun kerjasama antara agensi akan dilakukan sebaik kesemua proses selesai berikutan pendataan ini dibuat bagi mengetahui jumlah sebenar penduduk di Sabah termasuk warga asing yang bekerja di pelbagai sektor termasuk perladangan, pembinaan, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya pendataan itu juga bertujuan mengumpul maklumat berkaitan jumlah sebenar pekerja asing di Sabah termasuk yang tidak memiliki sebarang dokumen atau tinggal melebihi tempoh.
