Anda di sini

Sektor perumahan kekal beri pulangan menguntungkan: Joachim

Advertisement
 Joachim merakamkan gambar kenangan bersama semasa majlis terbabit.
KENANGAN: Joachim merakamkan gambar kenangan bersama semasa majlis terbabit.

KOTA KINABALU: Sektor perumahan dilihat kekal memberi pulangan menguntungkan walaupun berdepan beberapa isu dan cabaran.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata sektor perumahan diyakini membuahkan kejayaan dan terus berkembang seiring komitmen dan usaha kerajaan dalam mentransformasikan sektor ini ditambah dengan perkembangan pesat teknologi maklumat serta komunikasi.

“Ini juga masa yang sesuai memandangkan Malaysia Timur sendiri adalah pasaran terbaik bagi pertumbuhan sektor perumahan,” katanya ketika merasmikan majlis anjuran GSH Corporation Limited dan China Railway Construction Group (CRCG) (M) Sdn Bhd di sini.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia Sabah, Sarawak dan Labuan mempunyai jumlah penduduk sebanyak 6.0 juta pada 2021.

“Memandangkan pasaran ekonomi semakin positif selepas pandemik, pasaran hartanah perumahan di Sabah mengalami pulangan yang ketara pada 2021. 

“Sejumlah 4,805 transaksi berjumlah RM1.941 bilion berjaya didaftarkan yang mewakili peningkatan tahunan sebanyak 20.61 peratus serta 37.71 peratus masing-masing pemantauan hartanah Kota Kinabalu daripada the Edge dan Rahim and Co,” katanya.

Menurutnya industri perumahan penyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan ketersediaan peluang pekerjaan baharu selain menyumbang kepada jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Tambahnya kerajaan Sabah turut menjangkakan pulangan besar daripada peserta inisiatif Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (SBH-MM2H).

“Salah satu keperluan program SBH-MM2H adalah penginapan minimum 30 hari setahun dan individu atau keluarga hanya dibenarkan tinggal sekurang-kurangnya 10 tahun di Sabah.

“Keperluan lain termasuk pembelian hartanah dengan harga RM600,000 atau lebih, mendapatkan sijil pemeriksaan kesihatan dari negara asal pemohon dan membuka akaun bank di mana-mana bank tempatan yang berpangkalan di Sabah dengan deposit tetap sebanyak RM200,000.

“Melalui penyertaan pelancong dalam program ini, Sabah akan mendapat manfaat dari segi ekonomi melalui pembelian hartanah, aliran masuk dana, dan rangsangan ekonomi tempatan,” katanya.

SBH-MM2H yang dicetuskan oleh kerajaan negeri diadaptasi daripada program ‘Malaysia My Second Home’ yang dilaksanakan oleh sektor pelancongan dengan memberi penekanan terhadap sektor ekonomi utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Joachim berkata program ini bertujuan menarik dan memberi hak kepada pelancong asing yang memenuhi semua kriteria yang diperlukan untuk tinggal di Sabah dalam satu tempoh masa.

“Memandangkan alam semulajadi Sabah menakjubkan dan indah ditambah dengan gabungan unik kumpulan etnik dan budaya tempatan, negeri ini mempunyai potensi besar untuk menarik pelancong yang ingin menjadikan Sabah sebagai rumah kedua mereka,” katanya sambil menambah program SBH-MM2H memberi insentif kepada pelancong asing dengan ganjaran yang banyak.

Sementara itu, bercakap mengenai majlis ini Joachim berkata ia adalah tradisi lama dalam industri pembinaan yang meraikan kejayaan projek.

Katanya majlis ini juga menandakan rangka kerja struktur bangunan yang berjaya disiapkan seiring dengan struktur akhir dinaikkan bagi melengkapkan rangka bangunan.

“Saya dimaklumkan bahawa kompleks kondominium Coral Bay @ Sutera diilhamkan dengan alam semula jadi yang melindungi pantai serta terumbu karang sebelum dinamakan Coral Bay.

“Kompleks hartanah ini juga dilengkapi dengan kemajuan teknologi terkini dalam pasaran. Reka bentuk bangunan menggabungkan inovasi terkini dalam industri pembinaan serta teknologi anti-seismik, menjadikannya tambahan pintar kepada latar langit bandar,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Jamili Nais, Ketua Pegawai Eksekutif GSH Corporation Limited Gilbert Ee Guan Hui dan Pengarah Projek CRCG (M) Sdn Bhd Zhang Ting.

  • oleh
  • Advertisement