
KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) mahu melihat penggunaan untuk semua kemudahan sukan di bawah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dirakyatkan.
Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagaimanapun penggunaan kemudahan itu perlu dilakukan dengan kaedah-kaedah tertentu termasuk dikawal selia secara betul.
“Kita tidak mahu prasarana-prasarana yang kita bina menjadi seperti ‘gajah putih’. Saya lihat banyak kemudahan yang kita bina digunakan hanya untuk pertandingan.
“Rakyat yang nak datang untuk berlari menggunakan trek pun tak dapat. Jadi, tak ada guna kita menghabiskan ratusan juta tetapi ia hanya digunakan untuk atlet elit sahaja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian pembukaan Kolam Awam di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini, semalam.
Bagi memupuk bakat anak-anak muda sekali gus membentuk atlet bertaraf dunia, Abdul Karim berkata, ia perlu dilakukan bermula dari bawah.
“Kerana itu, saya mahu kemudahan-kemudahan sukan di bawah SSC dirakyatkan supaya rakyat dapat menggunakan fasiliti-fasiliti ini setiap masa. Saya yakin dengan cara ini kita dapat mencungkil lebih ramai atlet berpotensi,” tegasnya.
Misalan katanya, kerajaan membina Pusat Akuatik Pandelela Rinong untuk mencungkil bakat perenang dan penerjun yang berpotensi, selain menjadi pusat latihan kepada atlet elit.
“Kita bukan membina pusat ini hanya untuk pertandingan jadi kita juga membuka kolam kepada orang ramai,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap anak-anak kecil yang datang untuk berenang atau bermain di kolam riadah dapat memupuk minat seterusnya melangkah ke peringkat yang lebih tinggi dalam sukan akuatik.
“Untuk makluman, kolam riadah atau awam ini ditutup pada 2021 berikutan penularan wabak COVID-19 dan selepas dibuka semula kepada orang ramai minggu ini, lebih 10,000 orang telah mengunjungi kemudahan.
“Peningkatan mendadak ini adalah disebabkan cuti sekolah sekarang,” kata Abdul Karim.
Sementara itu, beliau memberitahu, di bahagian Lawas tidak lama lagi akan mempunyai pusat akuatik sendiri termasuk kolam renang bersaiz Olimpik.
“Pusat akuatik itu di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan kini terdapat tujuh kolam di bawah pengurusan SSC sekarang.
“Kolam-kolam itu akan dinaik taraf dan kolam-kolam terbuka yang ada akan dipasang bumbung,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick, Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai dan Ketua Pegawai Eksekutif SSC Awang Putrayusrie Awang Redzuan.