Anda di sini

Kanak-kanak perempuan hilang di ladang sawit

Advertisement
 Pasukan bomba dengan bantuan penduduk serta pekerja ladang menjalankan operasi SAR di sekitar lokasi mangsa dilapor hilang.
SAR: Pasukan bomba dengan bantuan penduduk serta pekerja ladang menjalankan operasi SAR di sekitar lokasi mangsa dilapor hilang.

KINABATANGAN: Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) masih menjalankan pencarian terhadap seorang kanak-kanak yang hilang di sebuah ladang sawit di Paris di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Azlan Shah Jamalludin berkata mangsa yang hilang adalah seorang kanak-kanak perempuan berumur setahun sembilan bulan dan belum ditemukan sehingga kini.

“Maklumat awal kejadian diterima pada jam 12 pagi pada 30 Mei lalu daripada pihak polis yang memaklumkan mangsa dipercayai hilang di kawasan ladang sawit terbabit.

“Berdasarkan maklumat daripada saksi kejadian, kanak-kanak perempuan itu kali terakhir dilihat di kawasan kuarters ladang pada 28 Mei lalu sebelum dipercayai hilang di kawasan ladang berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata bertindak dengan maklumat sepasukan pegawai dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR dengan dibantu beberapa penduduk kampung.

“SAR hari kedua dijalankan bersama pekerja ladang serta orang kampung membabitkan radius pencarian sejauh lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi ditunda berikutan tiada sebarang penemuan di kawasan SAR,” katanya.

Beliau berkata SAR hari ketiga diteruskan semalam seawal jam 10.45 pagi membabitkan radius pencarian satu kilometer.

“Pasukan SAR berdepan cabaran tiada litupan jaringan komunikasi di lokasi dan mangsa masih belum ditemukan sehingga kini.

“Kita akan menyalurkan sebarang maklumat dari semasa ke semasa berkaitan kejadian ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement