Anda di sini

Feri ditahan gagal lapor pertukaran nahkoda, Sijil Penumpang tamat tempoh

Advertisement

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan sebuah feri kenderaan dan penumpang dalam satu operasi di kedudukan 2.0 batu nautika Barat Laut Pulau Daat di sini.

Pengarah Zon Maritim Labuan Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera, Op Khas Kuda Laut,Op Tiris dan Op Bersepadu bersama Jabatan Laut melakukan pemeriksaan rutin terhadap sebuah feri kenderaan dan penumpang kira-kira jam 11.15 pagi hari ini. 

“Hasil pemeriksaan mendapati feri terbabit dikendalikan seorang nakhoda warganegara Filipina berumur 63 tahun dan empat kru yang lain terdiri daripada warga tempatan berumur dalam lingkungan 20 hingga 67 tahun. 

“Pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati feri berkenaan melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana dipercayai tidak melaporkan pertukaran nakhoda (Ship Registery) kepada Pegawai Pelabuhan dan Sijil Penumpang yang digunakan juga tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata feri tersebut kemudian diiring ke Jeti Zon Maritim Labuan manakala nakhoda serta seorang krew bersama dokumen feri dibawa ke Pejabat Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut. 

“Maritim Malaysia menegaskan kepada semua pemilik dan nakhoda bot dan feri agar sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi. 

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap sebarang aktiviti atau kegiatan jenayah di laut. 

“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-453777 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan lanjut,” katanya.

 Feri kenderaan dan penumpang yang ditahan di perairan Labuan.
TAHAN: Feri kenderaan dan penumpang yang ditahan di perairan Labuan.
  • oleh
  • Advertisement