Anda di sini

EUDR: Pemimpin Suruhanjaya EU beri reaksi positif terhadap lawatan Malaysia, Indonesia

Advertisement
 

BRUSSELS: Pertemuan pelbagai pemimpin Suruhanjaya dan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto, sempena misi bersama dua negara ke sini, terbukti memberi impak apabila pemimpin Eropah terbabit memberi reaksi positif.

Perwakilan Tertinggi Hal Ehwal Luar Negara dan Dasar Keselamatan EU, Josep Borrell-Fontelles berkata pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri #Malaysia Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri #Indonesia Airlangga Hartarto mengenai perkara dua hala termasuk Peraturan Pembasmian Hutan EU (EUDR) adalah perbincangan konstruktif.

“Mengesahkan objektif bersama kami untuk memerangi perubahan iklim dan pembasmian hutan,” katanya menerusi catatan di media sosial, Twitter, pada Rabu.

Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, kini berada di sini untuk mewakili Malaysia dalam misi bersama Indonesia sebagai usaha tindak balas terhadap pelaksanaan EUDR yang diumumkan EU pada 6 Dis 2022 yang bertujuan menghalang pembasmian hutan daripada aktiviti pertanian.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Rundingan Hijau merangkap Pesuruhjaya Dasar Tindakan Iklim Eropah, Frans Timmermans berkata pertemuan dengan Fadillah dan Airlangga sebagai amat baik.

“Kami amat bersetuju mengenai keperluan untuk usaha (berkaitan) iklim dan alam sekitar serta akan mengendalikan perbincangan bersama rakan mengenai pelaksanaan undang-undang antipembasmian hutan EU di Malaysia dan Indonesia,” katanya menerusi catatan di Twitter.

Pesuruhjaya Alam Sekitar, Lautan dan Perikanan merangkap Ahli Parlimen Eropah, Virginijus Sinkevičius berkata beliau amat berpuas hati dan gembira atas pertemuan dengan Fadillah serta Airlangga.

Perbincangan dengan kedua-dua pembuat dasar itu adalah berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang EU mengenai pembasmian hutan, satu alat penting untuk menangani isu itu dan menggalakkan rantaian bekalan yang mampan.

Terdahulu, Fadillah berkata perwakilan EU akan berada di Indonesia dan Malaysia untuk sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa (INTA), Bernd Lange telah menyatakan sokongan jawatankuasa itu kepada Malaysia dan Indonesia.

“Bersedia untuk menyokong negara rakan kami!”

“Bersedia untuk perjalanan saya akan datang ke Indonesia, mengadakan pertukaran (pandangan) yang hebat dengan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia @airlangga_hrt (Airlangga Hartarto) dan Timbalan PM Malaysia Fadillah Yusof untuk mencari penyelesaian bersama kepada cabaran alam sekitar.”

Dalam catatan Twitter itu, beliau turut menciap dengan tanda pagar #collaboration (kerjasama). - BERNAMA
 

Advertisement