Anda di sini

Bantuan Persekutuan bantu percepat selesai masalah air di Sabah: Hajiji

Advertisement
 Anwar (tengah) menyambut Hajiji (kanan) dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob (kiri) di pejabatnya di Putrajaya.
PERTEMUAN: Anwar (tengah) menyambut Hajiji (kanan) dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob (kiri) di pejabatnya di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Kerajaan negeri yakin bantuan yang disediakan kerajaan Persekutuan berjumlah lebih RM320 juta mampu mempercepatkan penyelesaian masalah bekalan air di Sabah membabitkan rancangan jangka masa pendek.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu melibatkan pelaksanaan enam program termasuk 20 projek di seluruh Sabah iaitu sembilan projek di bawah rancangan daerah untuk Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu, dan Sandakan.

Rancangan berhubung penyelesaian masalah air di Sabah diperjelaskan oleh Hajiji kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi taklimat di sini hari ini.

Turut mengiringi Hajiji adalah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmy Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyambut baik keputusan pantas Perdana Menteri dalam meluluskan peruntukan berkenaan dan menjelaskan projek-projek terbabit dijangka mengambil masa enam sehingga 12 bulan untuk disiapkan.

Selain itu, beliau berkongsi mengenai rancangan bekalan air berimpak tinggi jangka panjang kerajaan negeri. Ia termasuk dua projek empangan di Papar dan di Upper Padas Sipitang untuk memastikan bekalan air mampan bagi jangka masa panjang.

Bagi rancangan berkenaan, Perdana Menteri menggesa penubuhan segera pasukan petugas yang terdiri daripada kementerian negeri dan Persekutuan untuk mendapatkan pendekatan holistik serta kaedah yang terbaik.

Terdahulu, pada majlis penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri pada Rabu lepas, Anwar memaklumkan akan mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi mengenai masalah bekalan air di Sabah hari ini.

Turut bersama rombongan Hajiji ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim dan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Suhaimi Asbullah.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali; dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
 

  • oleh
  • Advertisement