SRI AMAN: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Entebar dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Maureen, Kampung Entebar Batu Lintang, Undop menganjurkan Sukaneka Gawai 2023 di pekarangan rumah panjang berkenaan pagi tadi.
Tuai Rumah Maureen berkata, program tersebut bertujuan memeriahkan sambutan Hari Gawai Dayak pada tahun ini.
Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) COVID-19 beberapa tahun lalu, rumah panjang beliau tidak mengadakan program sedemikian berikutan penularan wabak berkenaan.
"Namun pada tahun ini, pihak KRT dan JKKK telah bersepakat untuk menganjurkan acara ini bagi memeriahkan sambutan Hari Gawai Dayak.
"Penduduk yang bekerja di luar Sri Aman telah balik ke rumah panjang untuk meraikan sambutan perayaan kali ini, maka kita sebulat suara menganjurkan acara ini secara besar-besaran," katanya.
Menurutnya, pelbagai aktiviti sukan diadakan melibatkan semua komuniti rumah panjang.
Terdahulu, program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Seri Doris Sophia Brodie.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Rosaline Neging dan Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman Ahmad Noorkamal.