Anda di sini

Pochettino galas tugas pengurus Chelsea

Advertisement
 

LONDON: Kelab Chelsea melantik Mauricio Pochettino (gambar) sebagai pengurus baharu mereka pada Isnin ketika pengurus dari Argentina itu menerima satu tugas sukar mengembalikan semula maruah kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pochettino bersetuju dengan kontrak dua tahun dan pilihan lanjutan satu tahun lagi untuk kembali semula ke Liga Perdana Inggeris, empat tahun selepas dipecat oleh Tottenham Hotspur, kelab jiran Chelsea di ibu kota London.

Jurulatih berusia 51 tahun itu mengganggur sejak dipecat oleh Paris Saint Germain (PSG) pada Julai 2022.

“Mauricio adalah seorang jurulatih kelas dunia dengan rekod yang hebat. Kami semua tidak sabar untuk melihat dia memulakan tugas,” kata pemilik bersama Chelsea, Todd Boehly dan Behdad Eghbali dalam satu kenyataan.

Pochettino,  yang akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 Julai, menggantikan Frank Lampard selepas bekas pemain tengah antarabangsa England itu kembali semula sebagai pengurus sementara sehingga akhir musim.

Lampard adalah pengurus ketiga Chelsea pada musim buruk di mana Boehly memecat Thomas Tuchel pada bulan September dan kemudian memecat penggantinya, Graham Potter pada bulan April, kurang tujuh bulan selepas memegang jawatan.

Pochettino muncul sebagai pilihan utama selepas Chelsea mengadakan rundingan dengan bekas jurulatih Sepanyol, Luis Enrique dan juga Julian Nagelsmann, yang dipecat oleh Bayern Munich pada bulan Mac.

Pochettino membuat persetujuan lisan untuk membimbing Chelsea pada bulan April namun pelantikan secara rasmi ditangguhkan sehingga akhir musim Liga Perdana  Inggeris.

Chelsea melengkapkan musim buruk mereka dengan keputusan seri 1-1 menentang Newcastle Ahad lepas, Pochettino terbang ke England untuk secara rasmi mengesahkan jawatannya.

Laurence Stewart dan Paul Winstanley, pengarah teknikal bersama Chelsea, berkata: “Pengalaman, mutu kecemerlangan, kualiti kepimpinan dan karektor Mauricio akan membawa Kelab Bola Sepak Chelsea ke hadapan.

“Dia jurulatih yang boleh menang, yang sudah bekerja di peringkat tertinggi, dalam pelbagai liga dan bahasa. Etika, pendekatan taktikal dan komitmen kepada pembangunan menjadikannya calon yang luar biasa.”

Pochettino akan tiba di Stamford Bridge dengan kelab berada dalam krisis selepas  menamatkan musim di tangga ke-12 liga – kedudukan di bawah pertengahan liga yang pertama mereka sejak 1996.

Mereka juga tewas kepada Manchester City dalam aksi Piala FA Inggeris dan Piala Liga Inggeris dan tersingkir dari Liga Juara-Juara apabila tewas kepada Real Madrid.

Dipercayai mahu mendapatkan seorang penjaga gol, pemain tengah dan penyerang baharu, Pochettino mempunyai tugas yang sukar.

Hanya dua tahun selepas Tuchel membimbing kelab muncul juara Liga Juara-Juara, Chelsea berdepan satu musim jarang tanpa aksi bola sepak Eropah.

Boehly dilaporkan memberitahu pemainnya bahawa musim mereka adalah “memalukan” selepas tewas di tempat sendiri kepada Brighton, dengan penyokong mencemuh secara bersemuka dengan pemilik kelab dari Amerika Syarikat (AS) itu.

Boehly dikritik kerana membuat perbelanjaan melampau sehingga 550 juta  pound ke atas pembelian pemain baharu.

Ia menyebabkan kegagalan untuk menangani beberapa isu kelab dan menyebabkan mereka memiliki skuad yang terlalu besar di mana mereka tidak memiliki cukup ruang dalam bilik persalinan untuk setiap pemain.

Pochettino harus memulihkan moral di kalangan skuad dengan barisan pemain bintang yang kecewa dikatakan mahu meninggalkan kelab selepas gagal bermain dengan kerap.

Lampard mengakui selepas perlawanan terakhir pada Ahad di mana mutu dalam skuad Chelsea menurun dengan mendadak di sebuah kelab yang kali terakhir memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada 2017.

Penyokong Chelsea semakin bosan dengan Potter dan pastinya ingin tahu jika sejarah Pochettino dengan Tottenham terbukti satu sumber kemarahan di kalangan penyokong fanatik Chelsea.

Sekurang-kurangnya Pochettino tahu apa yang diperlukan untuk berjaya dalam Liga Perdana selepas membimbing Tottenham di empat tangga teratas liga sepanjang lima tahunnya di Spurs.

Pochettino, yang pertama kali membimbing kelab Liga Perdana bersama Southampton dari 2013 hingga 2014, juga membawa Tottenham ke final pertama Liga Juara-Juara pada 2019.

Mereka  tewas kepada Liverpool di final tetapi walaupun Pochettino gagal menamatkan kemarau kejuaraan Spurs sejak sekian lama, ia masih satu kejutan apabila dia dipecat oleh kelab beberapa bulan selepas final Liga Juara-Juara.

Dia dilantik sebagai jurulatih PSG pada Januari 2021, gagal memenangi kejuaraan Ligue 1 pada musim pertama tetapi membimbing kelab memenangi Piala Perancis. — AFP
 

Advertisement