Anda di sini

Lelaki buat laporan palsu dakwa dirompak kena PKW tiga bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki yang membuat laporan palsu mendakwa dirinya dirompak dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama tiga bulan dengan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan empat jam sehari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon RM200 (didepositkan) dan dirinya sebagai penjamin.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zaiton Anuar terhadap Mohd Aizyril Fikzree Ahmin, 33, dari Kampung Keranji yang mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan. 

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dunya sekali. 

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat laporan palsu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada 28 April lalu, sekitar jam 12.40 tengah malam. 

Fakta kes mendedahkan tertuduh melaporkan kepada pihak polis yang dia telah dirompak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, sekitar jam 8 malam pada 27 April lalu.

Hasil siasatan bagaimanapun mendapati laporan itu dibuat untuk kepentingan peribadi, bahkan kejadian rompak itu adalah palsu dan tidak pernah berlaku.

Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian kerana dibebani hutang dan dengan adanya laporan tersebut, dia dikatakan memperoleh lebih masa bagi melangsaikan hutang.

Tertuduh tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.
 

  • oleh
  • Advertisement