Anda di sini

Larian Bersama Bomba 7.0 di Miri sasar lebih 2,000 peserta

Advertisement
Ismaidi (empat kanan) dan Abdullah (tiga kanan) bersama yang lain mengalukan penyertaan masyarakat pada Larian Bersama Bomba 7.0, September depan.
Ismaidi (empat kanan) dan Abdullah (tiga kanan) bersama yang lain mengalukan penyertaan masyarakat pada Larian Bersama Bomba 7.0, September depan.

MIRI: Larian Bersama Bomba 7.0 anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri bakal diadakan pada 9 September depan dengan menyasarkan penyertaan seramai lebih 2,000 peserta. 

Ketua JBPM Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I) Ismaidi Ismail berkata dengan sokongan Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan kerjasama Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA), Bulatan Park Runners Club, Share Tea Boulevard dan Sport Terminal diharap dapat menggalakkan penglibatan masyarakat di Miri dan Sarawak selain dari negara Brunei dan Sabah. 

“Kami berharap penggemar aktiviti larian dapat memberi sokongan kepada program Larian Bersama Bomba bagi edisi ketujuh ini kerana sambil kita berlari, peserta turut menyumbang kepada badan amal.

“Salah satu tujuannya adalah kutipan hasil daripada program ini kita sumbangkan kepada badan kebajikan iaitu tahun ini kita memilih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bekenu,” katanya pada pelancaran Larian Bersama Bomba 7.0 di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Ismaidi berkata program ini dimulakan sejak 2015 namun tertangguh dua tahun semasa pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 dijalankan semula pada 2022. 

Sementara itu, Kaunselor Abdullah Jaini mewakili Datuk Bandar MBM, Adam Yii memuji usaha JBPM Zon 6 Miri menganjurkan program ini dengan hasil kutipan disumbangkan kepada PDK Bekenu. 

“Ini merupakan satu usaha sihat di mana penganjur tidak membuat sesuatu mendapatkan keuntungan namun menyumbang semula kepada komuniti memerlukan bantuan. 

“Setiap tahun apabila Larian Bersama Bomba diadakan di Miri mendapat sambutan begitu menggalakkan dan diharap penganjuran kali ini lebih meriah dengan penglibatan peserta dari dalam dan luar negara,” jelasnya.

Bagi mereka ingin menyertai larian ini boleh mendaftar di Share Tea Pusat Komersil Boulevard, Pejabat Zon 6 Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng atau melalui atas talian di http://www.jomrun.com/event/Bomba-run2023 sebelum tarikh tutup penyertaan pada 1 Ogos 2023. 

Lima kategori dipertandingkan pada larian ini iaitu 12 kilometer (km) Terbuka Lelaki, 12km Terbuka Wanita, 12km Veteran Lelaki, 12km Veteran Wanita dan 4km Fun Run. 

Bagi kategori 12km Terbuka Lelaki, 12km Terbuka Wanita, 12km Veteran Lelaki dan 12km Veteran Wanita yuran pendaftaran awal hingga 15 Julai depan adalah RM65 manakala biasa bermula 16 hingga 31 Julai ialah RM70. 

Sementara bagi kategori 4km Fun Run, yuran pendaftaran awal hingga 15 Julai adalah RM60 manakala biasa bermula 16 hingga 31 Julai ialah RM65. 

Sebarang pertanyaan hubungi pegawai-pegawai bomba terbabit iaitu Rafie Sapar di talian 019-8470757, Terry Robson Florance (019-8582994), Maureen Sim (010-7908796) dan Francis Aceh Angai (014-5863904) atau Presiden Bulatan Park Runners Club, Tang Swee Ming (019-8844172). 
 

Advertisement