Anda di sini

Enggan hentikan kereta untuk diperiksa, lelaki diperintah buat kerja masyarakat

Advertisement
 

KUCHING: Akibat enggan memberhentikan kereta bagi tujuan pemeriksaan pihak polis, seorang lelaki dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zaiton Anuar memerintahkan Mohd Aiman Salleh, 36, dikenakan PKW dengan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan empat jam sehari dengan jaminan RM200 (didepositkan) dan tiada penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 23 Mac lalu, sekitar jam 2.15 pagi di Lorong Juara 1, Jalan Sukma di sini.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis melakukan ronda cegah jenayah di lorong tersebut sebelum terserempak dengan sebuah kereta kompak yang berada dalam keadaan mencurigakan. 

Pihak polis kemudiannya mengarahkan pemandu kenderaan (tertuduh) untuk memberhentikan kereta bagi tujuan pemeriksaan, namun tertuduh  bertindak melarikan diri. 

Tertuduh bagaimanapun berjaya ditahan di kediamannya di sekitar taman perumahan tersebut. 

Hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan kewajipannya semasa hendak membuat pemeriksaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.
 

  • oleh
  • Advertisement