Anda di sini

Djokovic buru kejuaraan Grand Slam

Advertisement
Djokovic bersalaman dengan Kovacevic sejurus tamat perlawanan dan memenangi kejohanan Terbuka Roland-Garros di Paris, kelmarin. — Gambar AFP
Djokovic bersalaman dengan Kovacevic sejurus tamat perlawanan dan memenangi kejohanan Terbuka Roland-Garros di Paris, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Novak Djokovic memulakan buruan kejuaraan Grand Slam yang ke-23 apabila menewaskan Aleksandar Kovacevic di pusingan pertama Terbuka Perancis sementara pesaing utamanya, Carlos Alcaraz juga meneruskan kemaraan.

Djokovic, juara dua kali di sini, menangani saingan lewat lawannya dari Amerika Syarikat (AS) sebelum menang 6-3, 6-2 dan 7-6(7/1).

Dia masih belum tewas perlawanan pusingan pertama mana-mana kejohanan Grand Slam sejak Terbuka Australia pada 2006.

“Saya mahu menguasai siapa sahaja lawan saya tidak kira apa jua keadaan dan siapa, tetapi kadang-kadang ia berhasil dan kadang-kadang tidak,” kata Djokovic selepas memulakan kempen ke-19 berturut-turut di Terbuka Perancis.

Jaguh Serbia berusia 36 tahun itu akan bertemu Marton Fucsovics dari Hungary, pemain yang ditewaskan empat kali sebelum ini, di pusingan kedua kejohanan.

Djokovic diletakkan sebagai pemain pilihan ketiga kejohanan pada tahun ini walaupun dengan ketiadaan musuh lamanya yang juga juara rekod 14 kali kejohanan, Rafael Nadal kerana kecederaan, meletakkannya di belakang pilihan pertama, Alcaraz dan pilihan kedua Daniil Medvedev dari Rusia.

Dia berkongsi rekod 22 kejuaraan Grand Slam lelaki bersama Nadal dan kurang satu kejuaraan di belakang Serena Williams untuk rekod keseluruhan lelaki dan wanita Grand Slam.

Margaret Courts memegang rekod terbanyak lelaki dan wanita dengan 24  kejuaraan Grand Slam.

Kovacevic, pemain ranking ke-114 dunia, bermain perlawanan Grand Slam buat kali  pertama dalam kariernya dan bermain dengan memberangsangkan namun gagal memberikan saingan sengit sehingga ia terlalu lewat untuk bangkit.

Djokovic menang selesa pada dua set pertama sebelum Kovacevic berjaya memberikan tentangan lebih kuat pada set ketiga.

Djokovic juga  mengembalikan rentak dan mempunyai mata akhir tetapi Kovacevic berjaya mengikat kedudukan untuk membawa permainan ke tiebreak.

Namun bekas pemain nombor satu dunia itu ternyata memiliki pengalaman lebih luas untuk menang selesa dalam permainan tiebreak.

Alcaraz memulakan kempen memburu kejuaraan Grand Slam kedua selepas mudah menewaskan pemain kelayakan dari Itali, Flavio Cobolli, pemain ranking ke-159 dunia yang juga beraksi kali pertama dalam kejohanan Grand Slam.

Alcaraz menang 6-0, 6-2 dan 7-5.

Jaguh muda dari Sepanyol itu menjadi pilihan untuk muncul juara dengan ketiadaan Nadal dan dijangka bertemu Djokovic di peringkat separuh akhir kejohanan jika kedua-dua pemain ini tidak tersingkir awal.

Alcaraz, 20, mengharungi musim tenis di permukaan tanah liat dengan cemerlang apabila memenangi kejohanan di Madrid dan Barcelona tetapi dikejutkan oleh Fabian Marozsan di Rom.

Namun tiada sebarang kejutan di pusingan pertama Terbuka Perancis.

“Ia tidak bagus kerana gagal menyempurnakan mata akhir. Tetapi saya terpaksa bangkit dan cuba melupakannya,” kata Alcaraz. “Saya bermain dengan hebat ketika kedudukan 5-5 dan 6-5 .”

Dengan kemenangan itu, Alcaraz akan menentang pemain dari Jepun, Taro Daniel di pusingan kedua.

Pada perlawanan lain, pemain pilihan ke-10 dari Kanada, Felix Auger-Aliassime, dikejutkan kekalahan ketiga di pusingan pertama dalam empat penampilan di sini selepas tewas 6-4, 6-4 dan 6-3 kepada Fabio Fognini.

Pemain pilihan ke-14 dari Britain, Cameron Norrie, meneruskan kemaraan selepas bertarung lima set sebelum menewaskan pemain wildcard tuan rumah, Benoit Paire 7-5, 4-6, 3-6, 6-1 dan 6-4.

Pemain yang melangkah ke peringkat separuh akhir Wimbledon tahun lepas, Lucas Pouille, akan menanti Norrie di pusingan kedua.

Bekas juara, Stanislas Wawrinka dari Switzerland, juga memerlukan lima set sebelum menewaskan Albert Ramos Vinolas 7-6 (7/5), 6-4, 6-7 (2/7), 1-6 dan 6-4 untuk menempah pertemuan  menentang Thanasi Kokkinakis di pusingan kedua.

Zhang Zhizhen menjadi pemain lelaki pertama dari China yang memenangi perlawanan pusingan pertama kejohanan ini sejak 1937 apabila lawannya, Dusan Lajovic menarik diri kerana kecederaan ketika ketinggalan 6-1 dan 4-1.

Dalam bahagian wanita, Elina Svitolina dari Ukraine memenangi perlawanan pertamanya dalam kejohanan Grand Slam sejak Terbuka Australia pada tahun lepas apabila mengejutkan Martina Trevisan 6-2 dan 6-2.

Pilihan kelima, Caroline Garica memberikan keceriaan kepada penonton tuan rumah apabila menewaskan Wang Xiyu 7-6 (7/4), 4-6 dan 6-4.

Bekas naib juara, Sloane Stephens, menyingkirkan pemain pilihan ke-16, Karolina Pliskova 6-0 dan 6-4 sementara finalis 2021, Anastasia Pavlyuchenkova menewaskan Linda Fruhvirtova 6-2 dan 6-2. — AFP
 

Advertisement