
BINTULU: Pasukan Dejavu Miri merangkul gelaran juara kategori `Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG)' pada Kejohanan Bintulu Esports X Culture Championship 2023 yang bermula pada 25 hingga 28 Mei Ahad lalu di pusat beli-belah di sini.
Manakala SME x PEA dari Pahang naib juara dan Pasukan Terengganu Esport tempat ketiga.
Ketiga-tiga pasukan itu masing-masingnya menerima hadiah wang tunai RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 serta piala, pingat dan hamper.

Dalam pada itu, pasukan SR dari Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara Pertandingan Mobile Legend Bang Bang (MLBB) sekali gus menerima hadiah wang tunai RM15,000 berserta piala, pingat dan hamper.
Pasukan Shine X MY dari Kuching dan Novoid dari Melaka pula masing-masing naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan RM5,000.
Hadiah-hadiah kepada pasukan yang menang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Kejohanan tersebut merupakan anjuran Pejabat Residen Bahagian Bintulu dengan kerjasama Jawatankuasa Pasukan Petugas Pelancongan Bahagian Bintulu (DTTG) dan Kelab Esports Xiphos itu diadakan sempena sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
Pang berkata, sukan elektronik meraih populariti yang luar biasa di seluruh dunia dan acara seperti ini menyediakan landasan untuk individu berbakat menyerlahkan kemahiran dan semangat dalam industri sukan ini yang semakin berkembang.
Beliau berkata, ia menggalakkan pertumbuhan berterusan dan pengiktirafan sukan elektronik sebagai bentuk yang sah dan dihormati dari segi persaingannya.
"Saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas persembahan cemerlang dan dedikasi mereka sepanjang kejohanan. Kemahiran dan semangat anda
telah benar-benar mengagumkan kami," tambahnya.
Hadir sama dalam kejohanan tersebut dan majlis penyampaian hadiah ialah Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti.