Anda di sini

Bank Rakyat sambut baik Program Perpaduan Madani Peringkat KPM

Advertisement
Sekitar suasana majlis pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Madani Peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 di Putrajaya, baru-baru ini.
Sekitar suasana majlis pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Madani Peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 di Putrajaya, baru-baru ini.

KUCHING: Bank Rakyat menyambut baik dan menyokong Program Perpaduan Madani Peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi perangkaan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif melibatkan sekolah di seluruh negara.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, program yang bertujuan untuk memupuk semangat kepelbagaian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia itu dimulakan seawal peringkat prasekolah.

Ia juga katanya, merupakan komitmen KPM dalam menyambut usaha kerajaan menerusi Minggu Perpaduan Negara Tahun 2023 yang bertemakan ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’.

Menurutnya, menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat kini sedang dalam perancangan bersama KPM bagi menganjurkan beberapa inisiatif untuk mendukung komitmen perpaduan yang diaspirasikan oleh KPM. 

Antaranya, Karnival Kelab Nuri Madani yang dijangka akan dianjurkan di beberapa lokasi di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti menarik.
 
Untuk rekod, Bank Rakyat telah menganjurkan lima Karnival Kelab Nuri Ramadan pada April lalu di lima sekolah berbeza iaitu Sekolah Menengah Sains Sabah, Sekolah Menengah Sains Selangor, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan dan MRSM Langkawi.

Selain itu, Bank Rakyat dijangka akan mengadakan semula Pertandingan Choral Speaking Kelab Nuri Madani pada tahun ini yang bakal mengetengahkan topik perpaduan dalam kalangan pelajar.

Penganjuran pertandingan Choral Speaking antara sekolah di seluruh negara ini bertujuan memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan pelajar sekolah yang berbilang bangsa, sekali gus membantu pelajar meningkatkan tahap keyakinan untuk berkomunikasi.

Di samping itu, Bank Rakyat juga bakal memperkenalkan program Saudagar Cilik Nuri sebagai salah satu inisiatif untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar. 

Menerusinya, Bank Rakyat yang juga merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ingin memberikan pendedahan awal kepada pelajar selain menyediakan platform kepada mereka untuk meningkatkan daya cipta dan inovasi.

“Pelbagai penganjuran program di peringkat sekolah di seluruh negara ini merupakan platform dan peluang disediakan oleh Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang prihatin terhadap kesejahteraan dan kemampanan pelajar serta institusi pendidikan negara secara menyeluruh bertepatan dengan nilai Malaysia Madani,” ujar kenyataan itu.

Selain itu katanya, Bank Rakyat turut giat mempromosikan inisiatif Sekolah Tanpa Tunai bagi menyokong aspirasi Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memberikan penekanan tentang kepentingan celik kewangan sebagai kemahiran hidup terutama dalam kalangan pelajar. 

“Sehingga kini, terdapat 26 sekolah serta lebih 13,000 pelajar yang terlibat dalam program Sekolah Tanpa Tunai anjuran Bank Rakyat.

“Inisiatif ini juga membuktikan komitmen Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang prihatin dalam membimbing serta membekalkan pelajar dengan pengetahuan untuk menguruskan aktiviti kewangan harian dengan berkesan dan bertanggungjawab agar mereka dapat menguruskan kewangan mereka dengan baik,” kata kenyataan tersebut. 
 

Advertisement