Anda di sini

AirAsia dinobat Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia 2023

Advertisement
 

KUCHING: Kumpulan syarikat penerbangan AirAsia telah dianugerahkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia oleh AirlineRatings.com pada Anugerah Kecemerlangan Syarikat Penerbangan tahunannya.

Ia termasuklah AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Filipina dan kumpulan syarikat penerbangan jarak sederhana AirAsia X Malaysia dan AirAsia X Thailand.
Ketua Pengarang AirlineRatings.com Geoffrey Thomas berkata, kemenangan ini amat wajar.

Menurutnya, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail telah melakukan tugas yang cemerlang dalam membimbing kumpulan syarikat penerbangan ini untuk mendominasi pasaran mereka.

"Kumpulan syarikat penerbangan ini telah menjadikan perjalanan mampu milik untuk ratusan juta penumpang di seluruh Asia dan mereka menawarkan nilai yang luar biasa serta pengalaman perjalanan yang hebat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya berasa rendah diri untuk menerima anugerah itu selepas melalui antara cabaran terbesar dalam sejarah industri penerbangan.

"Kami berterima kasih kepada pakar di AirlineRatings.com atas sokongan berterusan mereka dan menghargai kecemerlangan penerbangan.

"Sebagai sebuah platform ekosistem penerbangan dan pengembaraan terkemuka, kami akan terus memberikan nilai terbaik merentas semua perniagaan kami. 

"Ini termasuk platform airasia Superapp (yang mempunyai syarikat penerbangan, hotel, e-panggilan, makanan), teknologi kewangan, penyelenggaraan pesawat, dan kargo, yang merupakan antara yang paling pesat berkembang di rantau Asia Tenggara," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail turut mengalu-alukan kemenangan itu. 

Menurutnya di AirAsia X, pihaknya akan sentiasa menumpukan pengalaman perjalanan terbaik dari segi keselamatan dan tambang berpatutan untuk penerbangan jarak sederhana melebihi lima jam merentasi Asia Pasifik dan seterusnya. 

"Kini, kami telah melancarkan semula destinasi paling popular kami ke India, Korea Selatan, Australia, Jepun, China dan New Zealand dan mempunyai banyak lagi destinasi menarik yang akan diumumkan tidak lama lagi untuk memenuhi peningkatan permintaan.

"Ciri Premium Flatbed kami yang merupakan antara tempat duduk kelas perniagaan kos rendah terbaik dan perkhidmatan dalam penerbangan kami yang luar biasa adalah salah satu sebab para tetamu terus terbang bersama kami," katanya. 
 

Advertisement