Anda di sini

650 vendor SEB terlibat dalam usaha elektrifikasi luar bandar pada 2022

Advertisement
Abang Johari merakamkan kenangan bersama penerima SEVA 2023 sambil ditemani Abdul Karim, Julaihi, Idris, Sharbini serta tetamu kehormat lain. - Gambar Penerangan
Abang Johari merakamkan kenangan bersama penerima SEVA 2023 sambil ditemani Abdul Karim, Julaihi, Idris, Sharbini serta tetamu kehormat lain. - Gambar Penerangan

KUCHING: Kira-kira 650 vendor Sarawak Energy Berhad (SEB) terlibat dalam usaha elektrifikasi luar bandar di negeri ini pada tahun 2022, kata Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Penyertaan Bumiputera SEB Datuk Idris Buang.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 80 peratus kontraktor adalah warga Sarawak dan 37 peratus daripadanya kontraktor Bumiputera Sarawak.

Menurutnya, ia melibatkan jumlah nilai (projek kerja) yang dianugerahkan sebanyak RM2.7 bilion dengan RM2 bilion diberi kepada kontraktor rakyat Sarawak.

“Kontraktor yang sama ini telah memainkan peranan penting dalam memajukan usaha elektrifikasi luar bandar, sekali gus membolehkan kita mencapai 97.9 peratus liputan luar bandar dan 99.2 peratus keseluruhan liputan domestik.

“Ini sejajar dengan agenda kerajaan negeri untuk menyalurkan bekalan elektrik ke seluruh Sarawak dengan nilai pelaburan RM2.37 bilion,” ujarnya pada majlis Anugerah Vendor Sarawak Energy (SEVA) 2023 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, malam Selasa.

Sehubungan itu, Idris menzahirkan rasa bangga terhadap SEB kerana turut menyediakan inisiatif dan peluang membina kecekapan kepada perniagaan-perniagaan di Sarawak.

“Ia bertujuan bagi melengkapkan vendor-vendor kita dengan keupayaan teknikal yang kukuh dan memastikan kita dapat memaksimumkan potensi kerjasama kita,” katanya.

Selaras dengan itu ujarnya, SEB bekerjasama dengan pelbagai penyedia latihan seperti Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan badan-badan berkaitan.

“Kerjasama ini dilaksanakan melalui Program Bina Keupayaan Kontraktor kita untuk membangunkan vendor dan pekerja tempatan dengan matlamat utama untuk meningkatkan pelaksanaan projek.

“Dengan ini, kita dapat melahirkan kontraktor berkebolehan tinggi dengan kecekapan tinggi yang boleh memenuhi cabaran dan permintaan industri serta mampu menjadikan SEB sebagai sumber kuasa utama di rantau ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu SEB telah mengoptimumkan faedah pendigitalan melalui Sistem e-Perolehan Sarawak Energy, SEPRO.

“Ia telah memberi keberkesanan dan kelebihan terbesar kepada Sarawak Energy dan semua vendornya sejajar dengan komitmen kami terhadap pendigitalan.

“Sehingga kini kita mempunyai kira-kira 3,900 vendor yang berdaftar di SEPRO dengan lebih 1,400 vendor adalah Bumiputera Sarawak.

“Aplikasi mudah alih ini menyediakan vendor dengan kemudahan fleksibiliti yang lebih besar dalam menguruskan aktiviti perolehan di hujung jari mereka,” jelasnya.

Sementara itu, tujuh anugerah disampaikan pada majlis tersebut termasuk ‘Promising Bumiputera Vendor’ atau Vendor Bumiputera Berdaya Saing yang dimenangi oleh Syarikat Tajau Tepus Enterprise.

Manakala, Vendor Karya Terbaik dimenangi Redco Sdn Bhd, Shorefield Sdn Bhd, Mark Maritime Sdn Bhd dan Mega Electrical Services Sdn Bhd, Pembekal Terbaik (HD Image Enterprise dan Gala Emas Sdn Bhd) dan Pembekal Perkhidmatan Terbaik (Impact Business Solutions Sdn Bhd, Sheza General Services dan St John Ambulance Sarawak).

Anugerah Perunding Tempatan Terbaik pula disandang oleh NAQ Associates Sdn Bhd dan Jurutera Jasa (Sarawak) Sdn Bhd, Perunding Antarabangsa Terbaik (Consortium of Rohas-Euco Industries Bhd dan Skipper Limited) dan Vendor Bumiputera Terbaik (Metro Glide Sdn Bhd dan Sonic Well Sdn Bhd).

Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datu Sharbini Suhaili serta tetamu kehormat lain.
 

  • oleh
  • Advertisement