
SIBU: Seorang wanita berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini apabila didakwa atas 40 pertuduhan menipu dan mendorong secara tidak jujur penghantaran harta membabitkan jumlah RM1.011 juta.
Suhana Abdullah yang diwakili peguam Raphael Ling menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun penjara serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap 37 mangsa dengan menawarkan tawaran rumah murah tidak wujud antara tahun 2019 dan 2022 di tempat berbeza.
Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, selepas mangsa membuat pembayaran, mangsa diberikan resit deposit malah ada di antara mangsa telah diberikan dokumen perjanjian untuk meyakinkan mereka mengenai tawaran tersebut.
Menurutnya, ketika mangsa cuba membuat susulan terhadap perkembangan projek pembinaan rumah murah tersebut, tertuduh telah memberikan pelbagai alasan.
Mangsa hanya menyedari ditipu apabila mendapat tahu projek perumahan seperti yang ditawarkan tertuduh masih belum dibangunkan, katanya.
Majistret Oon Kerk Chern membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jumlah jaminan RM120,000 (RM3,000 bagi setiap pertuduhan) dan dua penjamin tempatan.
Tertuduh akan hadir ke mahkamah sekali lagi pada 20 Julai depan untuk pengurusan kes praperbicaraan.