Anda di sini

Penganggur mengaku ugut bapa didenda RM3,000

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya yang berusia 52 tahun. 

Gabriel Mackem, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya. 

Seksyen itu membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak menyebabkan kematian terhadap bapanya sehingga menimbulkan ketakutan terhadap mangsa.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di kediaman mereka sekeluarga di Kampung Sungai Tapang Airport Lama di sini, sekitar jam 6.30 pagi di 27 Mei lalu. 

Fakta kes mendedahkan mangsa menunggu tertuduh di ruang tamu rumah kerana hendak menghantar tertuduh melapor diri di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Tertuduh bagaimanapun menghilangkan diri dalam masa satu jam dan apabila tertuduh kembali ke rumah, mangsa menyoal ke mana tertuduh pergi. 

Tertuduh naik berang dengan soalan itu dan kemudiannya bertindak mengugut mangsa dengan menyatakan akan membunuh mangsa sambil mengacukan sebilah pisau kecil dalam tangannya. 

Selain itu, tertuduh mengamuk dengan memecahkan cermin muka dan empat keping cermin jendela sehingga mangsa mengalami kerugian sekitar RM200. 

Bimbang akan keselamatan diri, mangsa membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh.

Hasil siasatan mendapati tertuduh sebelum ini sering mengamuk di rumah apabila berada dalam keadaan khayal. 

Tertuduh tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.
 

  • oleh
  • Advertisement