Anda di sini

Miliki pisau benet di tempat awam, lelaki dipenjara lima tahun dan satu sebatan

Advertisement
Tertuduh (kiri) diiring polis keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.
Tertuduh (kiri) diiring polis keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memiliki sebilah pisau benet di tempat awam tanpa sebarang alasan munasabah.

Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Sarmin Kelang, 24, untuk dikuatkuasakan mulai hari ini. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar jam 3.15 petang, di One TJ ICT Kompleks di Jalan Stutong di sini pada 20 Mei lalu. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap oleh sepasukan polis di kompleks tersebut susulan disyaki terlibat dengan kes pecah rumah di sekitar kawasan BDC yang berlaku pada hari sama.

Semasa tangkapan dibuat, polis mendapati tertuduh membawa sebilah pisau benet di tempat awam tanpa alasan munasabah.

Selain itu, polis turut merampas beberapa peralatan elektronik daripada tertuduh semasa tangkapan iaitu sebuah komputer riba, telefon pintar, bank kuasa, jam tangan, beng sandang dan tetikus.

Hasil siasatan mendapati barang-barang tersebut merupakan barang hasil pecah rumah dan tertuduh hendak menjualnya kepada kedai komputer di One TJ ICT Kompleks. 

Oleh itu, tertuduh juga didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barangan curi.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali yang kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh, berkuat kuasa dari tarikh tangkap, 20 Mei 2023.

Pendakwaan kes dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali dan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement