Anda di sini

Lelaki tanam dua pokok ganja didakwa

Advertisement
Tiang diiringi keluar dari mahkamah selepas menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Sibu, hari ini.
Tiang diiringi keluar dari mahkamah selepas menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Sibu, hari ini.

SIBU: Seorang lelaki berumur 24 tahun yang ditahan kerana menanam dua pokok ganja dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini untuk menghadapi pertuduhan kesalahan dadah.

Brandon Tiang didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan diambil daripadanya dan tertuduh akan hadir di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Marutin Pagan pada 19 Jun ini.

Tertuduh yang diwakili peguam Orlando Chua tidak dibenarkan diikat jamin.

Berdasarkan pertuduhan, Tiang dikatakan menanam dua pokok ganja di rumahnya di Jalan Rambai pada 24 Mei lalu kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Terdahulu, Tiang mengaku bersalah atas perjudian haram mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Oon Kork Chern menjatuhkan hukuman denda RM1,600 dan jika gagal membayar boleh dikenakan penjara satu bulan.

Tiang didapati bermain judi secara haram di khalayak ramai menggunakan telefon bimbitnya pada 25 Mei 2023 di tempat letak kereta di Jalan Wong Soon Kai.
 

  • oleh
  • Advertisement