Anda di sini

Kerjasama erat untuk pertahankan minyak sawit, produk pertanian

Advertisement
 

BRUSSELS: Malaysia dan rakyatnya harus bekerjasama erat untuk mempertahankan khususnya minyak sawit dan produk komoditi pertanian negara secara amnya daripada peraturan-peraturan  yang tidak adil, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Kita semua mesti berdiri megah, terbang tinggi dan bangga dengan komoditi dan komoditi pertanian Malaysia sendiri.  Melangkah ke hadapan, kita semua perlu bekerjasama erat secara strategik di peringkat global.

Adalah dengan harapan ikhlas saya, diaspora Malaysia di sini di Brussel dan semua yang berada di seluruh dunia boleh menjadi duta untuk mempromosikan dan berkongsi mahlumat yang betul mengenai produk komoditi pertanian kita,” katanya.

Fadillah berkata demikian semasa majlis makan tengah hari bersama diaspora Malaysia di Brussels, yang merupakan ibu kota Kesatuan Eropah (EU) dan menempatkan sebilangan institusi EU termasuk pentadbiran-perundangan, eksekutif-politik dan cawangan perundangan. 

Rakyat Malaysia perlu terus berkongsi dan mempromosi manfaat kesihatan minyak sawit negara yang mampan, satu sumber  “tocotrienols” yang sangat baik, sebahagian daripada vitamin E dengan antioksida yang kuat untuki mengekalkan sistem imun yang sihat, baik untuk kesihatan otak dan membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.

“Untuk menyerlah dalam perjuangan ini, kita memerlukan lebih daripada kata-kata,” kata beliau.

Selain minyak sawit, ada banyak lagi cerita  kejayaan lain-lain komoditi negara.

“Biji koko kita adalah juara, memenangi anugerah di peringkat antarabangsa selama beberapa tahun kerana kualiti dan rasanya dan kita perlukan anda untuk  menyampaikan ketulenan Lada Sarawak kita yang terkenal dan dianugerahkan dengan status “Geographical Indication (GI)” untuk tempat spesifik asal dengan maklumat terperinci kualiti lada itu.

Justeru, saya ingin menggalakkan setiap daripada kamu untuk secara aktif mempromosikan khazanah kita ini di bumi Brussels dan seluruh dunia.

Fadillah ke Kesatuan Eropah untuk menyertai misi bersama dengan Kerajaan Indonesia di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Pada 9 Februari 2023 di Jakarta, Fadillah dan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia Dr Airlangga Hartarto bersama-sama bersetuju untuk mempertahankan kepentingan sektor minyak sawit dengan mengukuhkan usaha dalam menangani diskriminasi terhadap mintyak sawit.

Ini sebagai respons kepada pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang diumumkan EU pada 6 Disember 2022 yang menyasarkan untuk mencegah pembasmian hutan kerana aktiviti pertanian.

Turut serta dalam lawatan sulung beliau ke Eropah ialah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Mohamed Helmy Othman Basha, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC)  Datuk Carl Bek-Nielsen, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh. Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Belgium Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani. - BERNAMA
 

Advertisement