Anda di sini

Football Australia, FAM bincang peluang kerjasama

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Badan induk bola sepak Australia, Football Australia hari ini melakukan kunjungan hormat ke Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sempena mempromosi Piala Dunia Wanita 2023 Australia-New Zealand Julai ini.

Delegasi Football Australia diketuai Pengurus Besar Projek Strategik dan Kerjasama Antarabangsa Kieran Lilley itu disambut Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum menghadiri taklimat bersama Jabatan Teknikal FAM.

“Selain itu, kunjungan hormat itu juga telah membuka ruang untuk FAM membincangkan peluang berkolaborasi bersama Football Australia,” demikian menurut hantaran Facebook rasmi FAM.

Turut menyertai delegasi itu Koordinator Kerjasama Antarabangsa Thomas Engelhardt, bekas pemain skuad bola sepak wanita Australia Servet Uzunlar, pemain skuad junior bola sepak wanita Australia Emma Ilijoski dan Pengurus Diplomasi Awam Suruhanjaya Tinggi Australia Jason Moynihan.

Sementara itu, ucapan pembukaan sesi taklimat bersama Jabatan Teknikal FAM disempurnakan Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram, bersama Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman.

Pengarah Teknikal FAM Scott O' Donell, Ketua Unit Bolasepak Wanita FAM merangkap Ketua Jurulatih Malayan Tigress Soleen Al-Zoubi dan Ketua Unit Akar Umbi FAM Cameron Ng, antara yang melakukan pembentangan mengenai bola sepak wanita dan akar umbi di Malaysia pada taklimat tersebut. - BERNAMA
 

Advertisement