Anda di sini

F1: Verstappen ‘raja’ Grand Prix Monaco 

Advertisement
 

MONACO: Juara dunia dua kali, Max Verstappen, menjarakkan lagi kedudukan dalam saingan kejuaraan Formula Satu (F1) apabila menamatkan perlumbaan dalam keadaan yang penuh dramatik di Grand Prix Monaco pada Ahad.

Pemandu berasal dari Belanda itu memandu dengan kawalan sepenuhnya walaupun cuaca berubah mendadak dari panas terik pada permulaan perlumbaan sebelum hujan lebat, menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 27 saat berbanding pemandu Aston Martin, Fernando Alonso.

Ia adalah kemenangan kedua Verstappen di litar jalanan di sini dalam tempoh tiga tahun, kemenangan keempatnya tahun ini dan yang ke-39 dalam kariernya, membolehkannya menjarakkan kedudukan di senarai keseluruhan kategori pemandu F1 berbanding rakan sepasukannya, Sergio Perez dengan kelebihan 38 mata.

Esteban Ocon mencuri perhatian dengan menduduki tangga ketiga untuk pasukan Alpine dan menjadi pemandu pertama dari Perancis yang menaiki podium di Monaco sejak Olivier Panis pada 1996.

“Ia bukan mudah,” kata Verstappen. “Ia agak sukar! Saya tidak mahu terlalu lama dalam litar tetapi saya terpaksa terus memandu ketika hujan turun dan kemudian ia sangat sukar untuk memandu.

“Ia sangat licin dan sukar,” kata pemandu berusia 25 tahun itu. “Saya melanggar dinding penghadang beberapa kali, tetapi ini adalah Monaco. Ia menarik untuk menang dan sangat menarik untuk menang dalam cuaca sebegini!”

Alonso menaiki podium yang kelima dari enam perlumbaan tahun ini.

“Ia sukar,” kata bekas juara dunia dua kali itu. “Max memandu dengan sangat baik menggunakan tayar sederhana di awal perlumbaan dan ia sukar ketika hujan. Saya fikir semua pemandu melakukan tugas hebat untuk terus berlumba.”

Kejayaan Ocon hadir pada perlumbaan F1 ke-50 untuk pasukan Alpine dan selepas beberapa masalah dalam  pasukan.

“Hujung minggu yang hebat,” katanya. “Kami tidak melakukan sebarang kesilapan dan saya menikmatinya. Saya juga berharap ia adalah yang pertama dari banyak lagi kejayaan yang sama.”

Ocon menangani asakan lewat juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, yang terpaksa akur di tempat keempat, di hadapan rakan sepasukannya, George Russell sementara pemandu tuan rumah, Charles Lecler dari pasukan Ferrari dan Pierre Gasly dari Alpine, menyusul rapat di belakang.

Carlos Sainz menamatkan perlumbaan di  tempat kelapan untuk pasukan Ferrari, di hadapan dua pemandu pasukan McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri.

Perlumbaan bermula dalam cuaca cerah dengan suhu mencecah 26 darjah Selsius dan suhu litar pada 47 darjah tetapi hujan ada diramalkan akan turun.

Alonso bermula dengan baik tetapi tidak cukup untuk memintas Verstappen yang berjaya melepasi selekoh pertama di hadapan dan kedudukan pemandu juga tidak berubah.

Hamilton diasak oleh dua pemandu Ferrari tetapi tetap mengekalkan kedudukannya.

Perez, yang bermula di kelompok belakang selepas terbabas dalam sesi ujian masa kelayakan pada Sabtu, melakukan hentian pit lebih awal kerana masalah tayar sementara Verstappen, dengan tayar sederhana lasak, mula menjarakkan diri dari Alonso, yang menggunakan tayar lasak.

Keadaan kelihatan tidak banyak berubah sehingga cuaca menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar untuk semua pemandu.

Verstappen menjarakkan kedudukan dengan kelebihan 8.4 saat pada pusingan ke-20 dan 10.6 saat menjelang pusingan ke-22 apabila awan hitam mulai tiba.

Verstappen menukar tayar tidak lama selepas itu dan menjelang pusingan ke-52, hujan mulai turun dan dengan litar jalanan yang licin, beberapa pemandu terpaksa memandu dengan berhati-hati terutama sekali mereka yang sudah menukar tayar lebih awal.

Hujan yang semakin lebat menyebabkan beberapa pemandu terpaksa kembali ke pit untuk menukar kepada tayar basah, termasuk Verstappen dan juga Alonso.

Verstappen tetap memandu dengan cemerlang dan ketika berbaki 10 pusingan, hujan mulai reda, membolehkan Verstappen tidak menoleh ke belakang lagi dan menamatkan perlumbaan dengan selesa. — AFP
 

Advertisement