KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengaku bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencuri pelbagai jenis ais krim di sebuah kedai cuci kereta di sini sehingga mengakibatkan kerugian RM200.
Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan kes disebut semula pada 13 Julai depan untuk mendengar laporan akhlak tertuduh, susulan dia merupakan pesalah kanak-kanak.
Sementara menunggu tarikh berkenaan, Zubaidah membenarkan tertuduh diberi ikat jamin mahkamah RM2,000 dengan bapanya sebagai penjamin.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kedai cuci kereta di sini sekitar jam 9.25 malam pada 21 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu pada 22 Mei lalu, sekitar jam 9.30 pagi menyedari peti sejuk aiskrim yang diletakkan di luar kedai terbuka.
Pengadu kemudian membuat semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tertuduh telah memanjat pagar kedai untuk masuk ke premis pada malam sebelumnya, serta bertindak mengambil pelbagai jenis aiskrim.
Susulan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada 22 Mei lalu sekitar jam 12.30 tengah hari.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.