Anda di sini

Wartawan Sabah hadir meriahkan HAWANA 2023 dengan baju tradisional Kadazan Dusun

Advertisement
 (Dari kiri) James, Lichong, Newmond dan Lester hadir HAWANA di Ipoh, Perak dengan berbusana baju tradisi etnik Kadazan Dusun.
IDENTITI SABAH: (Dari kiri) James, Lichong, Newmond dan Lester hadir HAWANA di Ipoh, Perak dengan berbusana baju tradisi etnik Kadazan Dusun.

IPOH: Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang diadakan di sini turut dimeriahkan dengan kehadiran empat wartawan dari Sabah yang mengenakan pakaian tradisional baju etnik Kadazan Dusun.


Mereka ialah Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Lichong Angkui, Pengarang Urusan The Jesselton Times Newmond Tibin, Pengurus Besar Kupi-Kupi FM Lester Calvin Miol dan Ketua Pengarang Daily Express James Sarda.

Lichong berkata, mereka sepakat berbuat demikian bagi menunjukkan wartawan-wartawan Sabah terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik yang berbeza tetapi mempunyai kesatuan yang utuh.

"Memakai pakaian berbeza tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mencapai perpaduan yang lebih erat," katanya.

Lester berkata, pakaian 'gaung' yang asalnya dari Penampang adalah untuk mempamerkan suasana Sabah kepada wartawan tempatan serta antarabangsa yang hadir pada majlis berkenaan.

Katanya, pakaian itu adalah hadiah daripada mendiang bapanya, Datuk Justin Miol yang kali terakhir berkhidmat sebagai Pengarah Penerangan Sabah.

James pula berkata, walaupun bukan orang asal Sabah, tetapi beliau memutuskan untuk memakai pakaian Kadazan Dusun untuk menunjukkan solidariti dengan rakan-rakan Sabah serta Sarawak yang masing-masing akan menyambut Pesta Kaamatan dan Gawai pada hujung Mei dan awal Jun.

Katanya, tiada cara lebih baik untuk menunjukkan penghargaan terhadap perayaan masyarakat etnik lain, selain berpakaian dalam pakaian trasional komuniti tersebut pada ketika sambutan perayaan itu.

"Sama seperti memakai baju Melayu ketika menziarahi rakan-rakan muslim yang menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Katanya, tidak dinafikan ramai rakyat di Semenanjung Malaysia, termasuk wartawannya tidak sedar bahawa Sabah mempunyai lebih 30 kumpulan etnik dan sub etnik, Sarawak turut mempunyai jumlah seumpamanya.

Kali ini adalah tahun ketiga HAWANA diraikan selepas meraikan majlis seumpamanya di Kuala Lumpur dan Melaka sebelum ini. Ia diadakan sebagai pengiktirafan sumbangan warga media ke arah pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan HAWANA 2023 yang diadakan di Hotel Casuarina di sini. 

Seramai lebih 100 wartawan tempatan dan asing, termasuk dari Indonesia, Filipina serta agensi berita antarabangsa yang lain turut dijemput ke majlis Makan Malam di Istana Iskandariah oleh Sultan Nazrin.
 

  • oleh
  • Advertisement