Anda di sini

Video ragut di kedai emas hanya 'prank'

Advertisement
 Tangkap layar video kejadian ragut di sebuah kedai emas yang tular di media sosial.
RAGUT: Tangkap layar video kejadian ragut di sebuah kedai emas yang tular di media sosial.

KOTA KINABALU: Video kejadian ragut di sebuah kedai emas  yang tular di media sosial sejak semalam disahkan pihak polis hanya lakonan semata-mata yang dibuat pihak premis terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris berkata, video berdurasi tiga minit 32 saat itu menunjukkan seorang pelanggan wanita kedai itu secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki ketika membeli barang kemas.

Katanya, lelaki berkenaan kemudiannya bertindak meragut bakul berisi barang kemas yang dibeli mangsa sebelum melarikan diri  dari premis terbabit.

Menurutnya, berikutan tersebarnya rakaman video berkenaan, pihak polis membuat risikan dengan menghubungi pengurus premis itu bagi mendapatkan pengesahan.

"Pihak pengurus premis mengesahkan kejadian itu hanyalah lakonan dan rekaan semata-mata (prank) sebagai inisiatif untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar sentiasa berada dalam keadaan berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan menjadi mangsa ragut.

"Polis Daerah Kota Kinabalu seterusnya meminta agar pengurus premis berkenaan membuat laporan polis bagi mengesahkan insiden dalam rakaman video itu hanyalah lakonan semata-mata.

"Pengurus berkenaan turut diminta memberi penjelasan kepada netizen di media sosial tujuan video itu disebarkan bagi mengelakkan kegusaran dan ketakutan dalam kalangan orang ramai khususnya di daerah ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak polis sentiasa memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terkawal dan baik.

Pihaknya juga menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung rakaman video berkenaan dan tidak mudah mempercayai sebarang isu yang disebarkan dalam media sosial tanpa pengesahan oleh pihak yang berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement