Anda di sini

Tindakan lelaki buat laporan palsu terbongkar selepas disoal siasat 

Advertisement
 

KUCHING: Tindakan seorang lelaki yang membuat laporan palsu kononnya disamun oleh empat lelaki semalam terbongkar selepas disoal siasat oleh polis yang bertugas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, mangsa yang berusia 21 tahan itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sekitar jam 2.30 pagi.

“Polis menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mendakwa dirinya telah disamun oleh empat lelaki.

“Mangsa turut mengatakan dirinya diikat dan dibawa sehingga ke Serian di samping motosikal miliknya turut dilarikan bersama barangan berharga yang lain dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Merbin menjelaskan, setelah siasatan lanjut dijalankan mendapati laporan yang dibuat adalah palsu.

“Suspek bertindak sedemikian kerana takut dimarahi ahli keluarga berkaitan penggunaan motosikal bapanya.

“Satu laporan polis berkaitan laporan palsu di atas telah dibuat oleh pegawai penyiasat kes untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Untuk rekod, Merbin menjelaskan bahawa sebanyak 10 laporan palsu telah diterima kononnya menjadi mangsa samun dan ragut sedangkan ia tidak berlaku bagi tempoh Januari 2023 hingga 28 Mei 2023.

“Kesemua kes di atas telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” tegas Merbin.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu sehingga memberikan gambaran negatif keadaan jenayah yang berlaku di daerah Kuching.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas individu berkenaan sehingga ke pengadilan atas kesalahan jenayah tersebut,” tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement