Anda di sini

Pendidikan Sastera mesti diperkasakan: Jasni

Advertisement
 Jasni bergambar kenangan dengan para peserta di majlis itu.
KENANGAN: Jasni bergambar kenangan dengan para peserta di majlis itu.

JOHOR: Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Datuk Jasni Matlani mengesa pimpinan tertinggi negara dan mereka yang menjadi pemegang taruh dalam sistem pendidikan, memperkasakan pembelajaran sastera dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, pendidikan sastera mengajar dan mengimarahkan budaya membaca serta membentuk akhlak dan sahsiah dalam kalangan murid-murid, bukan matematik dan sains yang sebenarnya hanya menjurus kepada kepentingan untung rugi, tetapi malangnya sistem pendidikan negara menafikan hakikat kepentingan sastera ini dengan meminggirkan pendidikan sastera.

“Ini merupakan satu kerugian yang besar. Sebab itu saya yakin, jika kita memperkasakan pendidikan sastera, dan menggalakkan rakyat membaca, sistem pendidikan negara mesti dirombak dengan mengambil kira kepentingan sastera yang secara jelas mengimarahkan budaya IQRA, seterusnya sebagai khazanah bangsa dan negara yang mesti secara berterusan diwariskan kepada rakyat merentas zaman.

“Malah, jika daripada dahulu pengajaran sastera diutamakan dan mengambil kira terhadap ibrah sastera secara khusus, saya fikir, mungkin kehidupan kita bernegara, bersosial, membangun ekonomi dan malah, sistem politik kita bergerak ke arah yang lebih baik dan betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutupan Simposium Sastera Malaysia anjuran Majlis Permuafakatan Penulis Malaysia (MPPM) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) di salah sebuah hotel terkemuka di Skudai, Johor, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir di majlis itu, Setiausaha Parti Keadilan Rakyat, negeri Johor, Hasni Abas, Amiruddin Md. Ali Hanapiah, Presiden Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Selatan, Tuan Haji Ridhawan Wahab.

Jasni yang juga ahli Lembaga pengelola DBP Malaysia berkata, pada masa sekarang sastera hanya dijadikan mata pelajaran elektif dan sebahagiannya pula diselitkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) .

“Malah lebih buruk lagi, banyak kelas sastera telah ditiadakan, akibat kecenderungan sistem pendidikan negara, yang lebih menjurus kepada bidang sains dan teknologi. Ini tidak betul,” katanya.

Menurut Jasni, bidang sains dan teknologi memang penting, apa lagi pada zaman yang semakin canggih dan dikuasai oleh ‘Internet of thing’ ini, tetapi jangan sampai tindakan kita membunuh sastera, kerana di negara Barat yang maju sekali pun, sastera tetap penting dan dijadikan sebagai mata pelajaran penting di peringkat sekolah rendah, menengah hingga ke peringkat universiti.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Jasni turut melahirkan harapan agar hasrat kita untuk mengimarahkan sastera di peringkat sekolah di negara kita ini mendapat perhatian pelbagai pihak.

Advertisement