Anda di sini

Luton melengkapkan pengembaraan luar biasa ke Liga Perdana Inggeris

Advertisement
Pemain Luton meraikan kemenangan pada perlawanan final play-off Liga Kejuaraan di antara Coventry City dan Luton Town di Stadium Wembley di London, kelmarin. — Gambar AFP
Pemain Luton meraikan kemenangan pada perlawanan final play-off Liga Kejuaraan di antara Coventry City dan Luton Town di Stadium Wembley di London, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Luton Town melengkapkan pengembaraan luar biasa ke Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Coventry menerusi penentuan sepakan penalti pada final playoff Liga Kejuaraan di Stadium Wembley pada Sabtu.

Skuad dikenali ‘The Hatters’ itu mengesahkan kenaikan liga yang keempat dalam tempoh 10 musim selepas menang 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga  tamat 30 minit masa tambahan.

Pakar kewangan menganggarkan kenaikan ke liga yang paling ditonton di seluruh dunia itu akan bernilai sekitar 170 juta pound untuk sebuah kelab yang berada dalam masalah sejak kali terakhir beraksi dalam liga teratas hierarki bola sepak Inggeris itu kira-kira 31 tahun yang lalu.

Luton adalah kelab pertama untuk naik dari divisyen lima ke liga tertinggi bola sepak Inggeris dalam era (format) Liga Perdana Inggeris.

Pemain tengah, Pelly Ruddock Mpanzu sudah mengharungi sepanjang pengembaraan luar biasa itu dan menjadi pemain pertama dari Liga Kebangsaan (Divisyen Lima) ke Liga Perdana dengan kelab yang sama.

“Saya merasakan saya melengkapkan bola sepak,” kata Mpanzu. “Ia satu pengembaraan yang hebat. Ia pastinya pesta sepanjang musim panas ini.”

Beberapa ganjaran tunai kenaikan Luton ke Liga Perdana akan digunakan untuk menaik taraf stadium  kelab, Kenilworth Road, yang hanya mempunyai lebih 10,000 tempat duduk, dan masih berada di kawasan perumahan yang akan menanti kunjungan kelab gergasi seperti Manchester United dan Liverpool pada musim hadapan.

Luton bagaimanapun terpaksa bangkit dari kejutan awal apabila kapten pasukannya, Tom Lockyer, pengsan dalam padang.

Pemain pertahanan tengah itu diusung keluar dari padang dan dikejarkan ke hospital, di mana kelab mengesahkan dia sedar dan mampu bercakap dengan keluarganya.

“Saya berasa gembira tetapi satu-satu perkara yang saya fikirkan sekarang ialah tentang Tom Lockyer,” kata pengurus Luton, Rob Edwards.

Lockyer terlibat apabila Luton membuka jaringan seawal minit kelima tetapi gol itu tidak dibenarkan pengadil selepas Gabriel Osho berkedudukan ofsaid.

Tetapi selepas permulaan memberangsangkan, Luton akhirnya mendapat ganjaran pada minit ke-23 apabila Elijah Adebayo mengumpan bola kepada Jordan Clark untuk membuka jaringan.

Adebayo ada menambah jaringan tetapi sekali lagi gol tidak dibenarkan kerana bola sudah terlebih dahulu terkena tangannya.

Coventry kelihatan gemuruh di hadapan 85,000 penonton dalam separuh masa kedua tetapi skuad kendalian Mark Robins semakin menyesuaikan diri dan sepanjang 22 tahun di luar Liga Perdana, Coventry terpaksa keluar dari stadium sendiri dan ke Northampton dan Birmingham kerana masalah kewangan sewa stadium.

Walaupun sudah kembali semula ke Coventry, mereka memulakan musim ini di tangga  terbawah Liga Kejuaraan selepas gagal menganjurkan perlawanan di tempat sendiri ekoran keadaan padang yang digunakan untuk sukan ragbi pada Sukan Komanwel.

Coventry meningkatkan rentak selepas rehat dan mendapat ganjaran 24 minit sebelum tamat permainan apabila Viktor Gyokeres mengumpan bola kepada Gustavo Hamer.

Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga 90 minit permainan dan kemudian dalam 30 minit masa tambahan, menyebabkan sepakan penalti menjadi penentu pemenang perlawanan. — AFP
 

Advertisement