Anda di sini

Idea memindahkan pasar malam ikonik ke Jalan Khoo Peng Loong berita baik 

Advertisement
MPS meneliti cadangan menempatkan semula pasar malam di Butterfly Park ke tapak baharu di Jalan Khoo Peng Loong, Sibu.
MPS meneliti cadangan menempatkan semula pasar malam di Butterfly Park ke tapak baharu di Jalan Khoo Peng Loong, Sibu.

SIBU: Idea menempatkan semula pasar malam ikonik Jalan Khoo Peng Loong di sini dari tapak sedia ada di Butterfly Park adalah berita baik bagi penduduk tempatan.

Semasa mesyuarat penuh minggu lalu, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) meneliti cadangan menempatkan semula pasar malam itu ke tapak baharu di Jalan Khoo Peng Loong di sini.

Mereka berpendapat, beberapa isu perlu ditangani sekiranya cadangan itu diberi lampu hijau pada masa akan datang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pasar dan Peniaga Kecil MPS Kaunselor Augustine Merikan menjawab cadangan Kaunselor Dr Johnny Kieh berhubung tapak baharu itu berkata, lokasi dicadangkan agak sunyi dan disifatkan sesuai untuk menjadikan tempat itu lebih meriah.

Augustine berkata, MPS sering menerima aduan daripada peniaga dan pembeli mengenai kekurangan kemudahan tandas di tapak sekarang.

"Jika kita pindahkan pasar malam ke lokasi baharu (Jalan Khoo Peng Loong) terdapat kemudahan tandas siap berhampiran.

"Tapak baharu di Jalan Khoo Peng Loong terletak di tepi sungai, menarik lebih ramai orang," katanya sambil menambah bahawa MPS akan mengadakan pertemuan dengan penjaja malam pada Jun depan.

Sementara itu, ketika dihubungi untuk mendapatkan pandangan ahli perniagaan, Simon Tiong menggelar lokasi dicadangkan itu sebagai tapak cantik untuk pasar malam.

"Bagaimanapun, banyak isu perlu diberi perhatian, contohnya adakah MPS mahu ia sebagai tarikan pelancong, persekitaran hijau untuk gerai makan, pengurusan sampah dan sebagainya... ia adalah tempat Sibu dibina," jelasnya.

Bekas Setiausaha Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Nangka Mohd Safree Mohd melihat cadangan memindahkan penjaja malam ke lokasi baharu adalah usaha baik memandangkan pihak berkuasa mengkaji perkara itu dari pelbagai sudut.

Selaku pengunjung kerap ke pasar malam itu, beliau menekankan kepentingan penyusunan lot-lot niaga termasuk jarak antara setiap lot serta berdekatan dengan kawasan parkir untuk keselesaan pengunjung.

Menyentuh faktor kebersihan, Mohd Safree beranggapan MPS lebih mudah membersihnya selepas pasar malam ditutup.

"Sibu perlu ada perubahan infrastruktur seperti kawasan pasar malam untuk penjaja kecil kerana ia antara tarikan pelancong. 

"Uniknya, di Sarawak dan begitu juga Sibu terdapat pasar malam yang sentiasa beroperasi setiap malam dalam seminggu," katanya.

Aktivis belia tempatan, Abdul Taib Rosli menyambut baik idea memindahkan pasar malam ke Jalan Khoo Peng Loong memandangkan tapak sekarang agak sesak dengan peningkatan jumlah penjaja.

"Sekiranya penjaja hendak dipindahkan ke kawasan baharu ada beberapa aspek perlu dititikberatkan seperti laluan trafik misalnya.

"Ini kerana kita tidak mahu keadaan trafik menjadi sesak sehingga mengganggu aliran lalu lintas walaupun sekarang kita lihat kawasan itu pada waktu malam tidak banyak kenderaan dan Jalan Khoo Peng Loong dilihat sebagai jalan utama di kawasan itu. 

"Saya berpendapat jika penjaja dipindahkan ke kawasan itu bagus kerana MPS boleh menyusun semula zon perdagangan seperti menjual makanan, minuman dan barangan," jelasnya.

Untuk rekod, Jalan Market di sini merupakan tapak pasar malam kira-kira 40 tahun lalu sebelum dipindahkan ke Butterfly Park pada 2012 dan pasar malam itu mula dibuka pada 1973.
 

  • oleh
  • Advertisement