Bahagian 1
Oleh: Ja’afar Haji Hamdan
Pengenalan
APABILA memperkatakan sastera dan pelancongan, pelbagai perspektif terbayang dengan gambaran yang sedikit kecelaruan. Perspektif ini seumpama mencampurkan minyak dan air, yang sama cecair pada sifatnya tetapi tidak sama dalam kepaduannya. Andai dikocak dengan betul sekalipun, pasti air dan minyak itu tidak akan bercampur.
Maka, persoalan tentang sastera dan pelancongan tidak sesuai dianalogikan sebagai minyak dan air. Sastera sebenarnya sudah ada dalam pelancongan dan pelancongan sudah ada dalam sastera. Hanya, tanpa sedar proses itu terjadi dalam kasus yang berbeza ataupun dilaksanakan seadanya mengikut konteks masing-masing.
Kalaupun terpisah, mungkin disebabkan bidang kepakaran yang hanya melihat dalam nilai sehala kebolehterimaannya. Maksudnya, sastera hanya meminjam situasi pelancongan untuk berada dalam lingkaran sastera, atau pelancongan meminjam pesona sastera untuk berada dalam promosi pelancongan tersebut. Tanggapan ini sering menyulitkan perkembangan itu sendiri.
Jangkaan ini, barangkali turut diimpikan melalui konteks sastera dan pelancongan. Sastera yang dilihat sebagai pemangkin pembinaan peradaban intelektual dan pelancongan yang sememangnya dikenali sebagai industri yang menyumbang secara luhur pada ekonomi. Maka, penggabungjalinan antara sastera dan pelancongan, memberi perspektif penambahbaikan dalam memastikan sastera dapat menyumbang untuk pelancongan dan pelancongan dapat menyumbang untuk sastera.
Usaha ini akhirnya, membawa matlamat untuk melihat sisi-sisi baharu yang akan membangunkan dan memperkasakan kedua-dua bidang berkenaan. Namun, untuk membangunkan dan memperkasakan kedua-dua bidang dalam pengertian yang sama, memerlukan penelitian sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui ciri-ciri yang wajar dan tanda penanda munasabah untuk dibuktikan.
Menyedari hakikat ini, sastera atau pelancongan perlu dicari persamaannya dan dihayati perbezaannya untuk merangka kewajaran yang paling ideal untuk dijadikan dapatan yang boleh dirintis dari semasa ke semasa sehingga menampakkan hasil bukti yang signifikan dengan kehendak sastera atau pelancongan itu sendiri.
Sastera
Sastera paling afdal dirujuk sebagai hasil seni melalui bahasa penulisan dan lisan. Secara tipikalnya hasil seni sastera merupakan catatan tentang budaya manusia yang mempunyai ciri-ciri kemanusiaan itu sendiri pada setiap masa tentang kehidupannya sama ada perkara silam, sedang berlaku atau yang akan berkembang. Namun, istilah sastera sering juga ditakrifkan dengan kesusasteraan sebagai anjakan pada pemaknaan sastera itu sendiri.
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) ke-16 di Kuala Lumpur, sastera merupakan bahasa yang berfaedah dan indah bagi sesuatu bangsa itu untuk menggunakan bahasa mereka. Dengan kata lain, penggunaan bahasa mereka itu membawa sekali pemaknaan terhadap akal budi.
Beliau mempersoalkan apakah mereka menggunakan bahasa itu dengan hal-hal yang berfaedah untuk keindahan atau sebaliknya? Pertanyaan ini sudah tentu menggugah kewibawaan bangsa itu sendiri terhadap pemaknaan akal budinya. Beliau juga memperkatakan dalam kiasan tentang bahasa tradisi sastera sebagai amalan turun-temurun dan ada susur galur daripada generasi kepada generasi yang perlu dihayati kebermaknaannya.
Tambahnya, sastera dan tradisi sastera ini akan membentuk pandangan alam atau Weltanschauung yang membina kerangka pemikiran untuk memberikan makna atau jawapan kepada persoalan-persoalan berkaitan dengan realiti, kebenaran dan hakikat kewujudan. Akhirnya persoalan dan jawapan inilah yang akan menjadi ilmu yang berfaedah dan menjadikan karya sastera itu indah dengan zahir sebagai kesusasteraan.
Maka, kesusasteraan boleh dimaksudkan sebagai segala pengucapan yang indah-indah, sama ada melalui bentuk tulisan dan juga wujud dalam bentuk lisan. Dalam kehidupan sehari-harian, kedua-dua bentuk kesusasteraan itu sememangnya tidak terpisah daripada kita. Ini kerana, kesusasteraan merupakan sebahagian daripada budaya manusia yang menyerlahkan ekspresi diri manusia dan juga manifestasi estetika manusia terhadap bahasa yang dipertuturkan atau diucapkan oleh mereka sendiri.
Tulisan dan ucapan itu pula mempunyai unsur tersurat dan tersirat untuk mengungkapkan makna-makna simbolik di sebalik pemaknaannya. Unsur-unsur inilah yang perlu dikaitkan dengan pemaknaan dalam pelancongan agar nilai kesusasteraan bukan lagi hanya ditandai dengan keintelektualan tetapi juga dengan ikon yang boleh ditandai juga dengan pembudayaan, pembangunan fizikal dan kemasyarakatan.
Pelancongan
Istilah pelancongan terbina berdasarkan kata lancong yang bermaksud “melawat sambil melihat-lihat”. Oleh yang demikian, istilah pelancongan memberi makna yang mengaitkan perihal orang yang melakukan proses lancong atau melancong. Maka, dalam hal ini, pelancongan menjadi sebuah industri yang memberi ruang dan peluang manusia untuk melakukan proses melancong, mencari sesuatu untuk dilawati sambil melihat dan merasakan nikmat lawatan tersebut.
Era selepas pandemik, aktiviti melancong kian meningkat. Penyebabnya, sudah tentu “kebebasan dari belenggu” selama dua tahun daripada pandemik COVID-19 merangsang manusia untuk melawat sambil melihat-lihat semula dengan harapan mencari sesuatu yang boleh menjadi penawar kepada kekosongan, kemurungan dan sebagainya sepanjang tempoh tersebut. Jelas, proses melancong boleh dijadikan sebagai terapi kejiwaan yang mampu mempertingkatkan harga diri, membina motivasi dan menambah nilai keilmuan.
Ada beberapa tanggapan tentang pelancongan yang boleh dijadikan landasan ke arah mempertingkatkan harga diri, membina motivasi dan menambah nilai keilmuan. Sebagai contoh, melancong boleh membuat kita mengenali budaya baharu. Kita akan mempelajari perbezaan budaya dan persamaan yang memungkinkan kita memahami konsep dan konteksnya.
Melancong juga menjadikan kita sebagai pengembara. Melihat dengan rasa penghayatan yang boleh meresapi makna kehidupan. Pemaknaan itu akan mematangkan kita tentang keinginan dan kesyukuran dalam mengisi kehidupan. Pengembaraan ini sudah tentu terakam sama ada dalam memori, catatan mahupun dipotret dalam pelbagai gaya dan aksi.
Kita juga menikmati keindahan bumi melalui alam sekitarnya ketika kita melakukan proses melancong. Kenikmatan ini, bukan sahaja memberi ketenangan, kedamaian dan keinsafan tetapi juga boleh memberi ilham tentang betapa luasnya dan uniknya ciptaan yang maha esa. Kesedaran ini, sudah tentu boleh dijadikan sebagai ganjaran pada anjakan pemikiran kita tentang sekeliling kita.
Tanpa sedar, apabila melancong kita mempelajari tentang kehidupan. Ketika melancong kita akan mempelajari dan membina pengalaman tentang sesuatu yang baharu. Pembelajaran dan pengalaman ini didepani dengan hasrat memahami, mencuba dan mengetahui persekitaran yang dilalui. Apatah lagi sekiranya kita melancong bersama-sama keluarga atau kawan-kawan.
Sastera pelancongan
Kita sudah menekuni maksud sastera dan juga pelancongan. Maka, untuk membina konseptual sastera pelancongan atau pelancongan sastera, kita perlu memaknakannya dengan situasi semasa dan diharap mampu memberi hipotesis pada tanggapan awal ini. Namun, tanggapan awal ini akan berkisar dan bersumberkan pada konsep dan konteks yang rasional, munasabah dan wajar.
Persoalannya, adakah sastera pelancongan atau pelancongan sastera ini benar-benar merupakan suatu konsep yang baharu? Namun, pada peringkat awal perbincangan ini, sastera pelancongan atau pelancongan sastera sebenarnya sudah berlaku tanpa kita sedari. Bahkan, tidak ada yang benar-benar melatari konteksnya untuk dikonsepsikan.
Rasanya kita tidak perlu menggariskan satu pemisahan antara sastera pelancongan dengan pelancongan sastera kerana matlamatnya tetap sama iaitu saling lengkap melengkapi. Oleh yang demikian, pelancongan sastera atau sastera pelancongan dirujuk sebagai pelancongan yang secara semula jadi berkembang di sekitar tempat yang terdapat pada karya sastera dan keberadaan pengarang terkenal.
Situasi sebegini sudah berlaku di luar negara. Antaranya di Stockholm, Sweden yang mengadakan perarakan bernama Scandinavia yang disesuaikan melalui novel Stieg Larsson yang berjudul The Girl with the Dragon Tattoo. Begitu juga di Dublin, Ireland melalui perarakan yang dinamakan Pub Sastera dengan menggabungkan pelancongan dan persembahan yang menyoroti warisan kebudayaan sambil pelancong disajikan dengan bacaan karya, muzik dan lagu sehingga merasai ruang-ruang yang menjadi tempat penulis hebat mereka berkumpul seperti James Joyce (Ulysses - 1922), Brendam Behan, Samuel Beckett (novel terawalnya, Murphy - 1938) dan WB Yeats (drama Di Baile’s Strand - 1904).
Di Amerika Syarikat pula, Bostan telah menjadi sarang kesusasteraan dengan membiaknya Romantik Amerika, Realisme Amerika dan Transendentalisme pada abad ke-19. Penyair yang digelar Fireside termasuk Henry Wadsworth Longfellow (koleksi puisi pertamanya ialah Suara Malam - 1839 dan Balada dan Puisi Lain - 1841), Ralph Waldo Emerson, Henry David Thoreau, Louisa May Alcott, Henry James dan sebagainya.
Begitu juga di Greenwich Village yang terkenal di New York City. Ada beberapa buah pub yang pernah menjadi tempat penulis inspirasi seperti Thomas Paine (pengarang Akal), John Reed (Sepuluh Hari yang Menggoda Dunia), Henry James (Washington Square), Edith Wharton (Age of Innocence) serta beberapa lagi nama besar dalam penulisan yang lahir di situ.
Kalau di Perancis pula, khususnya di Paris, terdapat tempat lawatan utama seperti 'A Band of Outsiders', yang memfokuskan pada Latin Quarter dan eksploitasi James Joyce, Ernest Hemingway dan George Orwell, serta para penulis Perancis yang terkenal seperti Honoré de Balzac dan Victor Hugo. Sudah pasti tumpuan juga pada 'Generasi Hilang' Montparnasse, kafe sastera Saint-Germain-des-Prés, dan peringatan Père Lachaise Cemetery yang hebat seperti Molière, Proust and Wilde.
Bahkan ada juga lokasi pelancongan sastera di Shanghai, China yang menempatkan penulis tempatan yang hebat seperti Lu Xun, bapa kesusasteraan modennya serta Xu Zhimi, penyair romantiknya. Kalau di England, sudah pasti penggemar Jane Austen yang popular dengan novelnya Northanger Abbey dan Percussion. Di Autralia, Kota Melbourne sebagai bandar sastera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sejak tahun 2008. Di Romania, perihal cerita dalam buku Sepanjang Jalan Enchanted, yang mencatatkan kampung-kampung yang tidak tersentuh oleh kemodenan dengan kehidupan harian mengekalkan irama Zaman Pertengahan.
Secara umumnya, pelancongan sastera yang dilaksanakan di luar negara memberi nikmat pelancongan dalam konteks keintelektualan, kedamaian, keamanan, kesejahteraan dan pembudayaan yang menyerlahkan sensasi wibawa kesusasteraan tersebut. Dalam hal ini, karya sastera yang dimaksudkan dengan pelancongan merupakan karya sastera yang membina, menyebut dan membayangkan latar tempat penceritaan.
Sedangkan sastera pelancongan yang mengetengahkan pengarang terkenal akan dikaitkan dengan suasana pengalamannya, pengetahuannya dan sumber ilhamnya yang terbina, terhasil dan tercipta dalam karyanya untuk diserlahkan dalam makna pelancongan. Justeru, penelitian sastera pelancongan ini memerlukan sedikit keberanian membina tanggapan tentang hal-hal yang tersurat dan tersirat dalam novel Hikayat Panglima Nikosa (HPN) yang dikarang oleh Ahmad Shawal Abdul Hamid (AS).
Hikayat Panglima Nikosa
Berdasarkan penemuan pengkaji dan penyelidik sastera, HPN dianggap novel Melayu terawal. Novel karangan AS ini dicatat terbit pada tahun 1876 atau lebih tepat dicetak batu (litografi) pada 30 Jun 1876 di Bukit Persinggahan, Kampung Boyan Kuching. Bermakna novel ini telah berusia 146 tahun pada tahun 2022.
Naskhah ini telah ditemui tersimpan di Rhodes House Library, Oxford. HPN merupakan sebuah penceritaan yang berlatarbelakangkan Borneo dan dikatakan berada dalam simpanan Sir Hugh Low yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan dinasti Brooke sebelum menjadi Residen Perak pada tahun 1877. Yang menariknya, ada pandangan yang mengatakan bahawa HPN merupakan novel Melayu pertama di dunia. Pernyataan ini telah meletakkannya pada kedudukan yang sangat penting pada hari ini.
HPN mengisahkan watak seorang pemuda yang bernama Nikosa sebagai pelindung negeri dengan pengalaman berperang dan matang dalam perancangan dan tindakan sehingga terdorong membina sebuah negeri. Dalam episod penceritaan AS, jelas menunjukkan bahawa waktu itu sudah ada pengutaraan idea yang bersifat masa depan (pandangan alam) di samping memberi elemen-elemen kepentingan dalam kelangsungan kehidupan.
Menurut Prof. Madya Dr. Awang Azman, dalam kertas kerjanya yang berjudul “Transformasi Sosial dalam Magnum Opus Borneo: Teks dan Konteks”, HPN mempunyai aspek transformasi dalam konteks ekonomi, pertanian, pengurusan kewangan, nilai kebudayaan yang dikaitkan dengan nilai keagamaan secara menyeluruh dan dapat dianggap sebagai melampaui zaman keberadaan sewaktu karya ini dihasilkan. Bentuk transformasi yang dikemukakan ini cukup teliti, teratur, sistematik dan jelas mengenai agenda pembangunan yang menyeluruh.
Tambah beliau, berdasarkan kajian terhadap magnum opus ini, ternyata idea transformasi AS cukup luar biasa dalam konteks zaman, iaitu pada tahun 1876. Maksudnya, sudah ada pemikir Melayu memikirkan masalah ekonomi dan pembangunan orang Melayu. Gerakan transformasi pengarang dalam teks ini dapat dikatakan cukup canggih dan menyeluruh untuk penstrukturan masyarakat baharu yang lebih berdaya saing.
Pemodenan dan transformasi ini sentiasa diutarakan oleh AS dalam setiap bab dan bukan sekadar berkhutbah, sebaliknya dipaparkan pelaksanaan yang berkesan, sistematik dan terperinci. Panglima Nikosa seolah-olah dapat dijadikan lambang perjuangan kemajuan orang Melayu Sarawak pada waktu itu. Pemikiran mengenai ekonomi dan perancangan strategik terhadap pembangunan negeri oleh AS lebih 100 tahun dahulu ternyata masih relevan untuk diasosiasikan dengan pembangunan masyarakat Sarawak dan masyarakat di alam Nusantara umumnya sehingga kini agar lebih berdaya saing dan maju dalam sektor ekonominya.
Idea dan pelaksanaan dalam penyusunan masyarakat melalui transformasi ekonomi dan sosial sekali lagi memberikan bukti bahawa teks kesusasteraan ini amat relevan dijadikan sebagai cerminan perubahan masyarakat pada masa sekarang dan akan datang. Ternyata idea transformasi untuk membangunkan masyarakat berdasarkan teks HPN ini dan dalam konteks pengarang Melayu Sarawak yang dianggap terawal bukan sahaja di Borneo-Kalimantan malah di rantau Asia Tenggara perlu diperhalusi sesuai dengan perkembangan semasa.
Penelitian Prof. Madya Dr. Awang Azman juga membuktikan bahawa idea transformasi sosial tidak harus dilihat dalam konteks kepartian yang sempit, malah perlu dilihat berdasarkan aspek kemajuan untuk membangunkan bangsa secara lebih luas perspektifnya sejajar dengan pemahaman tentang Weltanschauung pengarang. HPN yang dianggap novel Melayu pertama di dunia ini merupakan sumber keabsahan untuk penelitian dan naratif agung di rantau Nusantara yang membuktikan idea transformasi dan aspek kemajuan bangsa Melayu pesisiran dan aura pascakolonialisme sudah lama terkandung dalam teks ini.
(Bahagian 2 esei ini akan disiarkan pada 12 Jun 2023)