
PENAMPANG: Bank Rakyat diharap dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan khususnya daerah ini serta seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, tumpuan kepada inisiatif pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara dapat dilaksanakan menerusi jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan serta swasta.
“Saya berharap agar Bank Rakyat akan terus gigih dan komited dalam mencapai misinya dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi serta pertumbuhan negara.
“Ini adalah bagi memastikan inisiatif yang telah digariskan dibawah perancangan Belanjawan 2023 dapat dimanfaatkan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di semua peringkat kumpulan sasar,” katanya ketika merasmikan cawangan Bank Rakyat Penampang di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berpendapat masyarakat di daerah ini sangat bertuah kerana dapat menyaksikan serta menikmati pembaharuan dari segi infrastruktur dan fasiliti yang dibawa oleh Bank Rakyat.
Katanya, ia sebagai salah satu usaha berterusan dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan serta ekonomi penduduk.
“Tahniah saya ucapkan kepada Bank Rakyat kerana sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam mengukuhkan rangkaian perniagaannya di setiap pelusuk negara tidak kira di bandar mahu pun luar bandar.
“Ini adalah demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya dan bukan hanya mementingkan keuntungan serta operasi perniagaannya semata-mata,” katanya.

Ketika ditemui, Ewon berharap wajah baharu Bank Rakyat di daerah ini akan terus memberikan manfaat kepada rakyat Penampang.
Selain itu katanya, perkhidmatan bank rakyat bergerak juga telah dilaksanakan di negeri ini bermula tahun ini.
Menurutnya, usaha berkenaan sudah pasti akan memberikan kesenangan kepada penduduk-penduduk luar bandar khususnya daerah yang mempunyai perkhidmatan berkenaan.
Dalam pada itu, Ewon turut berterima kasih kepada Bank Rakyat yang sentiasa melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CRS) kepada komuniti memerlukan.
"Sempena dengan Pesta Kaamatan, Bank Rakyat tampil memberikan sumbangan bakul makanan khususnya kepada keluarga B40.
"Mungkin sumbangan seumpamanya adalah ringkas bagi kita, tetapi kepada keluarga memerlukan...ia amat bermakna.
"Saya bagi pihak keluarga yang menerima sumbangan ini mengucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat.
"Terima kasih juga memberikan bantuan persekolahan kepada sekolah-sekolah di Penampang, seluruh Sabah dan negara," katanya
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.