Anda di sini

Austria berminat bantu Sarawak bangun sektor pertanian

Advertisement

Berminat bekerjasama dan berkongsi kepakaran teknologi selepas perbincangan antara Andreas dan Dr Rundi 

Dr Rundi (lima kiri) menyampaikan cenderamata kepada Andreas sebagai tanda kenangan sambil disaksikan yang lain.
Dr Rundi (lima kiri) menyampaikan cenderamata kepada Andreas sebagai tanda kenangan sambil disaksikan yang lain.

“Kami gembira kerana dapat bertemu dengan menteri (Dr Rundi) hari ini dan kami telah mengadakan perbincangan yang sangat membina selama dua jam mengenai kerjasama antara Sarawak dan Austria.”  

Andreas Launer
Duta Besar Austria ke Malaysia 

Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Kerajaan Austria berminat bekerjasama dan berkongsi kepakaran teknologi mereka dengan Sarawak terutama dalam pembangunan sektor pertanian di negeri ini. 

Duta Besar Austria ke Malaysia Andreas Launer berkata, kerjasama ini telah dibincang semasa pertemuan dengan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom hari ini.

Pertemuan antara beliau dan Dr Rundi itu katanya, adalah sempena lawatan kerja pertamanya ke Sarawak yang disifatkan oleh beliau sebagai sebuah negeri yang cantik. 

“Kami gembira kerana dapat bertemu dengan menteri (Dr Rundi) hari ini dan kami telah mengadakan perbincangan yang sangat membina selama dua jam mengenai kerjasama antara Sarawak dan Austria. 

“Saya fikir, kami boleh menyumbang pembangunan positif kepada rancangan masa depan Sarawak dari segi teknologi dalam bidang pertanian pintar misalnya, pertanian mampan, pertanian organik dan sebagainya,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat dan perbincangan bersama Dr Rundi  di Bilik Jawatankuasa DUN Sarawak di sini. 

Sementara itu Dr Rundi berkata, banyak pertukaran idea dilakukan semasa perbincangan itu terutama mengenai kemajuan teknologi dan penggunaannya dalam bidang pertanian. 

Austria kata Dr Rundi, agak maju dari segi teknologi dan ini akan dapat membantu Sarawak dalam meningkatkan produktiviti, kecekapan, kualiti dan sebagainya. 

“Untuk membolehkan Sarawak menjadi pengeksport tetap makanan pada 2030, kita perlu bergerak pantas dan satu-satunya cara adalah dengan mengadaptasi teknologi dan transformasi pekebun terutama pekebun kecil,” katanya. 

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak turut mengenal pasti tanaman tertentu dengan nilai tinggi antaranya durian, pisang, nanas dan kelapa yang dapat dibangunkan kepada industri termasuk lada. 

“Saya bersyukur mereka menyebut mengenai lada. Kita baharu sahaja menubuhkan Lembaga Sagu, Getah dan Kelapa Sawit kita untuk memastikan Sarawak fokus kepada produk atau tanaman baharu untuk dibangunkan. 

“Mungkin Lembaga Lada juga sesuatu yang perlu ada bagi Sarawak dan saya berterima kasih kepada Duta Austria kerana datang ke Sarawak dan berkongsi pengalaman mereka,” katanya. 
 

Advertisement