Anda di sini

16 banduan Penjara Tawau dibebas sempena Pesta Kaamatan

Advertisement
 Kamarul Zaman (kiri) memberi penerangan kepada keluarga banduan yang bebas dalam PBSL kali ini.
BEBAS: Kamarul Zaman (kiri) memberi penerangan kepada keluarga banduan yang bebas dalam PBSL kali ini.

TAWAU: Seramai 16 banduan menarik nafas lega selepas mendapat keistimewaan bebas lebih awal daripada tempoh hukuman menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL), di sini semalam.

Pengarah Penjara Tawau, Kamarul Zaman Ali Zaman berkata, program ini dilaksanakan sempena menyambut Pesta Kaamatan yang diraikan di negeri ini.

Katanya, PBSL ini adalah satu program pembebasan dilakukan oleh Jabatan Penjara Malaysia terhadap banduan yang memenuhi syarat ditetapkan.

“Tujuan program ini supaya banduan boleh kembali kepada masyarakat dan menjadi warganegara yang lebih produktif.

“Selain itu, memastikan Program Pemulihan Dalam Komuniti mencapai visi dan misi jabatan iaitu dua pertiga penghuni berada di luar tembok penjara,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam Program Pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) PBSL peringkat Penjara Tawau, di sini semalam.

Menurutya, semua banduan yang dibebaskan ini akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan supaya mereka boleh menyara kehidupan sendiri dan keluarga.

“Kita dapati banduan yang keluar secara PBSL sebelum ini telah mendapat pekerjaan di kilang-kilang sekitar daerah ini

“Pegawai penjara akan melakukan pemantau terhadap banduan tersebut termasuklah di tempat mereka bekerja,”katanya.

Kamarul Zaman berharap supaya masyarakat terus memberi sokongan terhadap program-program pemulihan banduan yang dilaksanakan oleh Penjara Tawau.

“Banduan yang keluar daripada penjara perlu diberikan peluang untuk menjalani kehidupan seperti masyarakat lain supaya mereka tidak berasa disisihkan.

"Sebab itu, kita telah menyediakan pelbagai ilmu seperti pengurusan diri, sosial, kemahiran dan banyak lagi supaya mereka juga boleh menyumbang sesuatu kepada masyarakat serta negara,”katanya.

  • oleh
  • Advertisement