Anda di sini

UMNO/BN Sabah perlu siap siaga hadapi PRN

Advertisement
 Jeffery ketika menyampaikan amanat pada majlis tersebut.
AMANAT: Jeffery ketika menyampaikan amanat pada majlis tersebut.

BEAUFORT: UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) walaupun ia akan berlangsung kira-kira dua tahun lagi.

Pengarah Jabatan Piliharaya UMNO Sabah Jeffery Nor Muhamad berkata, persediaan lebih awal dapat memudahkan gerak kerja tanpa menunggu pada saat akhir.

Katanya, persediaan itu merangkumi aturan strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti bersama parti-parti komponen BN yang lain.

“Ia perlu melalui Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing terutama di kawasan-kawasan tumpuan yang mana kerusi BN kecundang atau mempunyai majoriti sedikit.

“Kita lihat pihak lawan ketika ini sudah melipat gandakan kerja-kerja parti dan perlunya jentera UMNO/BN melebihi daripada mereka sekiranya mahu menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat libat urus Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah di sini kemarin.

Menurutnya, UMNO/BN bahagian bermula sekarang perlu mengenal pasti jumlah pengundi dengan pertambahan pengundi baharu.

Selain itu, katanya, jentera juga harus mengenal pasti jumlah ahli di peringkat cawangan UMNO dan usaha mengesan mereka perlu dilakukan.

“Kerjasama serta sokongan ketua cawangan, ketua daerah mengundi dan pemimpin peringkat akar umbi sangat diharapkan,” katanya.

Jeffery yang juga Ketua UMNO Putatan berkata, Biro Penerangan bersama Bro Komunikasi dan Strategi juga perlu berfungsi dengan baik di semua bahagian.

“Mereka ditugaskan untuk menangkis segala tomahan dan fitnah terhadap parti melalui media sosial yang turut digunakan oleh pihak lawan.

“Jika kita biarkan ia akan mewujudkan presepsi negatif kepada pemimpin dan parti UMNO/BN di negeri ini,”katanya.

Turut hadir, Ketua UMNO Beaufort, Datuk Awang Asli Lakat; Timbalan Ketua UMNO Beaufort, Jaludin Kadir dan Setiausaha Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah, Datuk Fadilah Sabri.

  • oleh
  • Advertisement