Anda di sini

Sivasundaram tinjau Liga Suparimau dan Liga Akademi Tunas NFDP

Advertisement
 Sivasundaram (tengah) bersama David dan Lokman ketika meninjau pertandingan liga suparimau di padang sintetik Likas.
ALBUM: Sivasundaram (tengah) bersama David dan Lokman ketika meninjau pertandingan liga suparimau di padang sintetik Likas.


KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato' Sivasundaram a/l Sithamparam Pillai meninjau pertandingan Liga Suparimau dan Liga Akademi Tunas Sabah/Wilayah Persekutuan Labuan di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di sini, pagi kelmarin.


Liga Suparimau bermula hari ini di padang sintetik Kompleks Sukan Likas di sini manakala Liga Akademi Tunas NFDP berlangsung di padang SUKMA.


Timbalan Presiden FAM itu diiringi Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), David Wisom dan pegawai SAFA yang juga Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim.


Menurut Sivasundaram, program pembangunan bola sepak penting untuk kemajuan sukan tersebut di negara ini.


"Penganjuran kedua-dua liga (liga suparimau dan liga akademi tunas NFDP) sangat baik dalam konteks pembangunan bola sepak kerana ia bermula dengan pendedahan di peringkat kanak-kanak lagi," katanya.

 Sivasundaram (berdiri tengah) bergambar dengan TABS B10 yang mengambil bahagian dalam liga suparimau.
KENANGAN: Sivasundaram (berdiri tengah) bergambar dengan TABS B10 yang mengambil bahagian dalam liga suparimau.


Beliau memberitahu, berdasarkan data yang diterima pihaknya, terdapat kira-kira 30,000 pelatih terbabit dalam program pembangunan bola sepak NFDP di seluruh negara sehingga ini dan kira-kira 12,000 pemain terlibat dalam liga suparimau.


Sementara itu, Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN), Omar Maya Amat berkata, sebanyak enam Akademi Tunas (AT) di Sabah mengambil bahagian dalam Liga Akademi Tunas NFDP itu bagi pusingan pertama itu.


Ia terdiri dari AT WP Labuan, Keningau, Tawau, Kota Kinabalu, KInabatangan dan Kota Belud.


Katanya, pusingan kedua liga itu akan diadakan pada Oktober tahun ini.
 

  • oleh
  • Advertisement