Anda di sini

Rusia bedil klinik di Dnipro, seorang maut, 23 tercedera

Advertisement

Mangsa termasuk dua kanak-kanak usia tiga dan enam tahun

Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah klinik perubatan yang musnah dalam serangan peluru berpandu Rusia di bandar Dnipro di tengah Ukraine kelmarin. — Gambar AFP
Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah klinik perubatan yang musnah dalam serangan peluru berpandu Rusia di bandar Dnipro di tengah Ukraine kelmarin. — Gambar AFP

KIEV: Peluru berpandu Rusia pada pagi kelmarin memusnahkan sebuah klinik perubatan di bandar Dnipro di tengah Ukraine, mengorbankan seorang dan mencederakan 23 yang lain termasuk dua kanak-kanak, menurut pihak berkusa.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memaparkan sebuah video menunjukkan asap berkepul-kepul naik dari bangunan tanpa bumbung dengan tingkap yang pecah.

“Terdapat 23 orang tercedera di Dnipro,” ketua bagi pentadbiran tentera wilayah Sergiy Lysak menusli di Telegram, selepas beberapa bangunan diserang.

“Seorang lelaki berusia 69 tahun terbunuh. Dia hanya melewati kawasan tersebut ketika peluru berpandu Rusia menyerang bandar itu.”

Zelensky berkata dengan serangan ke atas sebuah fasiliti perubatan “pengganas Rusia sekali lagi mengesahkan status pejuang mereka menentang semua kemanusiaan dan kejujuran.”

Lysak berkata mangsa yang tercedera termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan enam tahun, yang dimasukkan ke hospital bersama dengan 19 orang lagi.

Media tempatan memaparkan rakaman video menunjukkan anggota penyelamat membantu orang dengan kesan darah pada muka keluar dari klinik melalui bahagian koridor yang penuh dengan runtuhan.

Bangunan tiga tingkat itu musnah separuh dan kebakaran merebak di sekitar 1,000 meter persegi, tulis Lysak menerusi Telegram, menghantar sebuah video menunjukkan anggota bomba  menghalakan hos paip ke arah runtuhan yang berasap.

Sebelum itu Lysak berkata wilayah Dnipropetrovsk “diserang secara besar-besaran” semalaman “dengan roket dan dron”.

Di bandar Dnipro, bedilan semalaman menyebabkan sebuah rumah terbakar dan merosakkan dua buah lagi, katanya. — AFP
 

Advertisement