Anda di sini

Renang: Bryan lebuh dua rekod kebangsaan miliknya di London

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Perenang muda negara, Bryan Leong nyata berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya memperbaharui dua rekod kebangsaan miliknya menerusi acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu dan 50m gaya bebas di Perlumbaan Antarabangsa AP London 2023, semalam. 

Menurut laman sesawang kejohanan itu https://swimming.events/meets/284/results, Bryan, 20, merekodkan 53.02 saat bagi acara 100m kuak kupu-kupu untuk mengatasi rekod lamanya 53.32s yang dibuat di Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun lepas. 

Bagaimanapun, graduan dalam bidang neurosains dan psikologi dari King’s College London itu menamatkan saingan di tempat kedua selepas perenang Afrika Selatan Chad Le Clos mengungguli acara tersebut dengan catatan 52.05s, manakala Ondrej Gemov dari Republik Czech di kedudukan ketiga dengan 54.32s. 

Bryan yang sudah mengesahkan slot ke Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai ini menerusi acara 100m kuak kupu-kupu, turut mencipta rekod baharu kebangsaan bagi 50m gaya bebas apabila merekodkan 23.07s sekali gus memadam 23.09s yang dibuat pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada tahun lepas. 

Walaupun berjaya memecahkan rekod, beliau terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keenam selepas ketinggalan kepada Dylan Carter dari Trinidad and Tobago yang memenangi pingat emas dengan catatan 22.24s, Matthew Richards dari United Kingdom (22.35s) dan tempat ketiga Carter Swift dari New Zealand (22.81s). 

Tempat keempat acara itu ialah Jacob Whittle dari United Kingdom dengan catatan 22.85s, manakala rakan senegaranya Alex Cohoon yang mencatat 22.88s di tempat kelima. 

Perlumbaan Antarabangsa AP London 2023 yang membuka tirai semalam akan berakhir esok. - BERNAMA 
 

Advertisement