Anda di sini

MPN perlu tambah baik perundangan pelaburan untuk rancakkan akiviti

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Majlis Pelaburan Negara (MPN) harus mengkaji daya maju untuk menambah baik bahagian perundangan pelaburan di Malaysia, kerana ia merupakan salah satu cara bagi merancakkan lagi aktiviti dan mengukuhkan ekosistem pelaburan, kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd  Firdaos Rosli berkata ini termasuk memperkenalkan perundangan pelaburan menyeluruh sambil memetik Akta Penggalakan Pelaburan Asing Korea Selatan (FIPA) 1998 serta Undang-undang Vietnam mengenai Pelaburan sebagai contoh.

Selain itu, katanya, MPN juga perlu mempertimbang mencadangkan Akta atau satu garis panduan mengenai pelaburan berkaitan Bumiputera yang menumpukan kepada industri perkhidmatan berbanding perdagangan, 

“Tidak seperti kebanyakan negara lain, Malaysia tidak mempunyai satu Akta untuk menyelia pelaburan asing, Tiada peraturan atau juga garis panduan khusus. 

"Oleh itu, pelabur mungkin melihat keseluruhan dasar pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia sebagai budi bicara kerana sesetengah pihak berkuasa dan kementerian mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan FDI atau peratusan pemilikan asing, seperti dalam industri telekomunikasi yang mana Akta Komunikasi Multimedia 1998 sangat berkuasa,” katanya kepada Bernama.

Firdaos turut menegaskan bahawa terdapat pembolehubah lain yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur, seperti keperluan ekuiti dan wakil tempatan, walaupun banyak subsektor perkhidmatan telahpun diliberalisasikan sepenuhnya berikutan krisis kewangan global.

Malaysia komited menambah baik ekosistem

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat pertama MPN, berkata kerajaan komited untuk menambah baik dan mengukuhkan landskap ekonomi dan pelaburan Malaysia bagi mengekalkan dan mengembangkan FDI dan juga pelaburan langsung domestik (DDI).

Semasa mesyuarat itu, MPN bersetuju untuk menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara dengan melaksanakan inisiatif, yang antara lainnya, akan menyelaraskan fungsi dan peranan wilayah ekonomi berkenaan dengan pelaburan.

MPN juga bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.

Firdaos memuji usaha kerajaan untuk menambah baik dan mengukuhkan landskap ekonomi dan pelaburan, sambil berkata Malaysia mesti sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan keyakinan pelabur, kepastian pelaburan dan kebolehramalan.

Menurutnya, walaupun markah keseluruhan Malaysia dalam Indeks Pembatasan FDI Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah bertambah baik sejak 1990-an, namun ia masih berada di kedudukan antara yang terendah, menunjukkan bahawa negara lain semakin bertambah baik dalam usaha meningkatkan persekitaran pelaburan mereka masing-masing.

Menurut Ranking Daya Saing Dunia International Institute for Management Development (IMD), Malaysia jatuh tujuh tangga daripada kedudukan ke-25 pada 2021 ke tempat ke-32 dari 63 negara yang ditinjau tahun lepas -- prestasi terburuk negara setakat ini selepas disenaraikan di kedudukan kelima pada tahun 1996.

Beliau berkata Republik Czech dan Arab Saudi berada di kedudukan lebih rendah dari Malaysia pada 2021, tetapi kedua-duanya kini telah mengatasi negara, masing-masing pada kedudukan ke-26 dan ke-24.

“Saya fikir terdapat jurang yang besar antara penggalakan pelaburan dan autoriti di negara ini. Pada pendapat saya, MIDA sepatutnya menjadi pihak berkuasa pelaburan tunggal dan tertinggi Malaysia, bukan hanya dari segi promosi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Malaysia akan dapat kembali menjadi destinasi pelaburan utama di rantau ini, beliau berkata bahawa Malaysia perlu berfikiran terbuka dan mengambil tindakan yang sewajarnya kerana ia bergantung kepada sejauh mana agresifnya negara jiran dalam menarik pelaburan asing.

Selain dari Thailand, Indonesia dan Vietnam, beliau berkata Kemboja dan Laos juga semakin giat melakukan perubahan dalam landskap pelaburan, khususnya pelaburan berkaitan pembuatan dan pembinaan/pembangunan infrastruktur.

“Sumbangan FDI Laos kepada keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) bukan sahaja lebih tinggi daripada Malaysia tetapi ia juga secara amnya lebih berdaya saing dari Malaysia dalam kalangan negara-negara OECD,” katanya.

Tangani kerenah birokrasi, laksanakan lebih banyak libat urus

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kerenah birokrasi dan birokrasi adalah antara isu utama yang akan menghalang firma swasta untuk melabur di Malaysia sekiranya tidak ditangani.

“Walaupun persaingan untuk FDI menjadi lebih sengit, ketidaktentuan yang semakin meningkat berkaitan prospek ekonomi global juga bermakna kos modal telah melonjak.

“Daripada segi itu, syarikat perlu berhati-hati dalam melakukan usaha wajar mereka dan berdepan dengan kerenah birokrasi. Birokrasi hanya akan membawa kepada kos menjalankan perniagaan lebih tinggi yang mungkin memaksa pelabur ini mencari tempat lain untuk melabur,” katanya .

Mohd Afzanizam berkata Malaysia mempunyai lebih 100 insentif pelaburan, dilaksanakan oleh 32 agensi kerajaan.

“Ini termasuk insentif khusus dalam koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Koridor Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak bersama-sama dengan insentif lain seperti Taraf Perintis, Elaun Cukai Pelaburan dan Elaun Pelaburan Semula .

“Sehubungan itu, menangani birokrasi akan membantu meningkatkan pengalaman pelabur apabila mereka merancang untuk membuka kedai di Malaysia,” tambahnya.

Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Geoffrey Williams berkata FDI bersih Malaysia telah merosot sejak tahun 2016 walaupun terdapat pelaburan masuk yang baik.

Beliau berkata ia disebabkan kebanyakan syarikat Malaysia melabur di luar negara kerana peluang pertumbuhan dan pasaran adalah lebih besar.

“Justeru itu dalam menghadapi persaingan antarabangsa, MPN dan IPA mesti mengenal pasti dengan teliti perkara yang penghalang dan menanganinya dengan segera.

"Mereka mesti melibatkan diri secara terbuka dan jujur dengan semua pihak berkepentingan daripada membuat senarai isu tanpa mempunyai bukti secara langsung," katanya.

Williams berkata MIDA mesti melakukan pembaharuan seiring dengan perubahan dan jika ia mahu memainkan peranan penuh dalam promosi pelaburan, ia mesti mengambil pandangan yang lebih luas mengenai bakal pelabur, bukan hanya memfokuskan pada nama jenama besar sahaja.

“Selain itu, ia mesti memberi tumpuan kepada pekerjaan dan pertumbuhan rantaian bekalan di sini, bukan hanya pada perkara yang menjana keuntungan tanpa memberi manfaat kepada Malaysia,” katanya.

Semasa mesyuarat pertama MPN, Anwar menyatakan jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi pada suku pertama 2023 berjumlah RM71.4 bilion, meningkat 59.7 peratus daripada RM44.7 bilion pada suku pertama 2022, merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Williams berkata peningkatan dalam jumlah pelaburan yang diluluskan adalah positif kerana ia mencerminkan minat pelabur dan kesediaan kerajaan untuk meluluskan pelaburan dengan cepat.

“Bagaimanapun, hanya apabila pelaburan dilaksanakan barulah kita akan melihat hasil daripadanya.

“Angka suku pertana yang tinggi bertepatan dengan dorongan besar oleh Perdana Menteri ke-10 itu tetapi kami tidak menjangkakan momentum ini berterusan untuk sepanjang tahun ini,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement