Anda di sini

Landskap, senario media di Sabah, Sarawak berbeza

Advertisement
 Pemimpin ISWAMI Malaysia bergambar dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selepas santapan malam di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar sempena Hawana 2023, malam kelmarin. Turut kelihatan Lichong (dua kanan).
ALBUM: Pemimpin ISWAMI Malaysia bergambar dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selepas santapan malam di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar sempena Hawana 2023, malam kelmarin. Turut kelihatan Lichong (dua kanan).


IPOH: Landskap dan senario media di Sabah dan Sarawak jauh berbeza berbanding di Semenanjung, justeru ia perlu diberi perhatian oleh kerajaan serta pemain industri itu sendiri, kata Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Lichong Angkui.


Beliau berkata media di kedua-dua negeri di Borneo itu perlu diletakkan dalam sebuah keterangkuman dengan arus media perdana di Semenanjung.


"Dengan demikian, pembangunan dan kelangsungan (survival) media di negara ini menjadi lebih kukuh, adil dan menyeluruh," katanya selepas menghadiri forum  'The Future of Media' sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) di sini hari ini.


Lichong berkata media di Sabah dan Sarawak lahir pasca merdeka, sedangkan di Semenanjung akhbar pertama diterbitkan jauh lebih awal sebelum kemerdekaan.


Katanya, ketika ini tidak ada akhbar arus perdana berpejabat di Semenanjung yang menghantar naskhah fizikal ke Sabah dan Sarawak.


"Orang di Sabah dan Sarawak hanya dapat akses menerusi maya, tetapi dalam keadaan yang terhad di mana akses internet sangat rendah di kedua-dua negeri berkenaan, terutama di kawasan luar bandar-bandar utama kedua-dua negeri berkenaan.


"Inilah yang saya katakan bahawa landskap media di Sabah perlu perhatian kerajaan dan pemain industri, di mana usaha perlu diperkasa bagi memastikan edaran suratkhabar menjangkau penduduk secara menyeluruh.


"Akhbar tempatan di Sabah sendiri juga demikian, edarannya terhad di kawasan berpopulasi saja, manakala di luar bandar, akhbarnya sampai pada lewat tengah hari atau petang, atau keesokan harinya," katanya.

Beliau berkata hal itu berlaku disebabkan akses infrastruktur sedikit-sebanyak menjejaskan perkembangan dan pembangunan media di Malaysia Timur.


Lichong berkata senario media di Sabah dan Sarawak juga berbeza dengan di Semenanjung, justeru mereka hendaklah dilibatkan dalam perkembangan dunia kewartawanan dan industri media di peringkat nasional.


"Contohnya dalam penubuhan Persatuan Wartawan Malaysia dan Majlis Media, kita berharap akan ada perwakilan dari Sabah dan Sarawak dalam kedua-dua organisasi berkenaan.


"Ini bagi membolehkan wakil tersebut memberi penerangan kepada rakan-rakan di Semenanjung keadaan serta realiti sebenar di negeri mereka," katanya.


Lichong yang juga ahli jawatankuasa Hawana 2023 turut mengakui bahawa perkembangan digitalisasi sedikit sebanyak turut menjejaskan kemajuan industri persuratkhabaran di kedua-dua negeri.


Justeru, katanya, banyak media turut mengikut rentak global dengan mengecilkan saiz operasi tanpa menjejaskan kualiti dan produktiviti.


"Kita juga mempelbagai operasi termasuk akhbar dalam talian, e-paper, tiktok dan sebagainya, namun dari segi pendapatan pengiklanan, ia tidak dapat menampung kos operasi," katanya.
 

Advertisement