Anda di sini

Kerajaan negeri beri galakan NGO anjur program kebajikan

Advertisement
 Nizam memandikan peserta khatan di Masjid Raya Tawau, di sini sebagai gimik perasmian.
GIMIK: Nizam memandikan peserta khatan di Masjid Raya Tawau, di sini sebagai gimik perasmian.

TAWAU: Kerajaan sentiasa memberi galakkan dan membantu badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program-program kebajikan kepada masyarakat awam di negeri ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri sangat mengharapkan NGO dapat memainkan peranan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Selain itu, katanya, NGO juga perlu berkolaboratif dengan agensi kerajaan untuk melaksanakan program yang bermanfaat kepada masyarakat khususnya di daerah ini.

Sememangnya NGO dan kerajaan perlu sentiasa bekerjasama supaya saling melengkapi dalam menganjurkan program kemasyarakatan serta kebajikan.

“Kita perlu wujudkan budaya kerjasama dua pihak seperti ini secara berterusan agar berat dapat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Majlis Berkhatan Perdana 2023, di sini semalam.

Program tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Anugerah Kasih Malaysia (PERKASIH) Negeri Sabah bersama beberapa lagi NGO lain.

Menurutnya, difahamkan seramai 100 orang kanak-kanak daripada golongan kurang berkemampuan telah menyertai program ini.

“Masih ramai lagi pemohon yang terpaksa ditolak disebabkan beberapa kekangan termasuk kekurangan petugas kesihatan dan ini menunjukkan masyarakat di luar sana sangat memerlukan.

“Justeru, sudah tiba masanya NGO dan agensi kerajaan perlu memperluaskan lagi program-program kebajikan seperti berkhatan secara percuma di daerah ini,” katanya.

Nizam berkata, dalam program ini juga, saya melihat banyak NGO berganding bahu disamping penglibatan agensi serta jabatan kerajaan seperti Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Tawau.

“Saya sangat teruja dan bersemangat melihat kolaboratif di antara NGO dan agensi kerajaan dalam membantu masyarakat awam,”katanya.

 Ismail (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Nizam.
PENGHARGAAN: Ismail (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Nizam.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH Sabah, Ts Ismail Awang menzahirkan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Datuk Nizam dan semua NGO yang terlibat menjayakan program ini.

“Sebenarnya terlalu banyak permintaan daripada golongan yang kurang berkemampuan dan kuota 100 orang yang ditetapkan sememangnya tidak mencukupi.

“Namun, kekangan bukan sahaja daripada aspek kewangan, tetapi petugas yang bertauliah menjadi faktor kita mengehadkan jumlah peserta,” katanya.

Beliau berharap supaya program akan datang dapat bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar dapat menganjurkan dalam kapasiti lebih besar.

Jika kita ada kemampuan daripada aspek kewangan dan petugas berkelayakan, tidak mustahil program berkhatan ini dapat dijalankan dengan kapasiti yang lebih besar.

“Saya juga mencadangkan agar ia dilaksanakan mengikut kuota di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada di Parlimen Tawau dan Kalabakan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement