Anda di sini

KBS umum syarat mohon geran padanan dalam masa terdekat

Advertisement
 

SHAH ALAM: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengumumkan syarat permohonan dana geran padanan kepada penggiat industri sukan dalam masa terdekat.

Menterinya Hannah Yeoh berkata pihaknya akan memastikan geran padanan diberikan Kementerian Kewangan sebanyak RM40 juta tahun ini mampu diselaraskan dengan sebaiknya dalam usaha meningkatkan prestasi atlet negara. 

“Objektif utama geran padanan diberikan kepada KBS ialah kita mahu membantu prestasi atlet dengan menyertai banyak lagi kejohanan supaya mereka boleh menilai prestasi semasa. 

“Oleh itu, KBS akan umum syarat-syarat permohonan dalam masa terdekat kerana kita (KBS) baru selesaikan syarat dikehendaki...nanti semua pihak termasuk persatuan sukan kebangsaan dan syarikat yang menganjurkan program sukan boleh memohon,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik (API) di Kompleks Sukan Shah Alam (Stadium Panasonic) di sini hari ini.

Kejohanan julung kali diadakan di Malaysia bermula Khamis lepas (25 Mei) itu menghimpunkan 140 kelab dari 20 negara, dengan kelab dari Malaysia merangkul ketiga-tiga kedudukan teratas bagi kategori lelaki iaitu kumpulan GOAT, Saints dan Blitz. 

Sementara bagi kategori wanita dimenangi oleh Elites yang mewakili Singapura diikuti wakil Malaysia Valkyries 1 (tempat kedua) dan Anak Melaya ketiga. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) Datuk N. Radhakrishnan berpuas hati apabila penganjuran API yang diadakan buat pertama kali di Malaysia mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan berkenaan. 

“Kita ada 500 perlawanan pada empat hari kejohanan (25-28 Mei) dan semua pasukan dari luar sangat gembira dan menyatakan bahawa mereka akan menyertai kejohanan ini lagi jika kita (MAD) anjurkan. Pada saya, kejayaan terbesar adalah pasukan lelaki (Malaysia) meraih kejayaan besar pada kejohanan kali ini,” katanya. - BERNAMA 
 

Advertisement