Anda di sini

Budaya ponteng kerja penjawat awam jejas perkhidmatan kerajaan

Advertisement
LEE LAM THYE
LEE LAM THYE

KOTA KINABALU: Budaya ponteng kerja dalam kalangan penjawat awam perlu dibendung dengan baik kerana ia boleh menjejaskan perkhidmatan yang diharapkan oleh rakyat kepada kerajaan.

Merujuk laporan media Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim baru-baru ini berkaitan penjawat awam ponteng kerja benar-benar sesuatu yang mendukacitakan.

Aktivis Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pendedahan itu sangat memeranjatkan kerana terdapat penjawat awam yang ponteng kerja sehingga tujuh hari.

Katanya, selaku masyarakat awam, harapan yang tinggi diharapkan setiap kali berurusan dengan penjawat awam.

“Penjawat awam sepatutnya dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan iaitu masyarakat dan menjadi harapan kepada negara.

“Justeru, pada hemat saya, sikap culas ini tidak sepatutnya berlaku dalam perkhidmatan awam dan sekiranya berlaku ia melibatkan peratusan yang kecil sahaja,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, diharapkan pihak kerajaan dapat mengatasi masalah ini dengan membentuk budaya kerja yang murni dalam kalangan kakitangan awam.

“Persekitaran kerja yang kondusif, selesa dan harmoni akan mengurangkan masalah ponteng dalam kalangan penjawat awam sekali gus mewujudkan budaya kerja sihat.

“Ini penting, bagi memastikan kakitangan awam semangat dalam bekerja dan memberikan khidmat yang terbaik kepada pelanggan iaitu masyarakat sejagat,”katanya.

Lee berharap pendedahan ponteng kerja ini hanya melibatkan peratusan kecil dan mereka yang beperangai sedemikian ambil ikhtibar dengan pendedahan pengerusi SPA itu sebagai terguran positif.

“Perlu diingat orang ramai sangat mengharapkan kakitangan awam terdiri dalam kalangan mereka yang berprestasi tinggi, berintegriti dan mampu memberi perkhidmatan cemerlang.

“Justeru, pastikan penjawat awam menjadikan setiap tugas yang disandang sebagai amanah dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement