Anda di sini

Penagih dadah pukul ibu, adik dengan kayu ditahan

Advertisement
 Suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.
TANGKAP: Suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah ditahan selepas memukul ibu dan adiknya menggunakan sebatang kayu di sebuah rumah di Skim Penempatan Telipok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu, ibunya berumur 48 tahun luka di kepala manakala adik lelakinya berumur 17 tahun luka di bahagian siku tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa pada hari yang sama.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian suspek berumur 33 tahun itu dalam keadaan khayal meminta wang sebanyak RM5 kepada ibunya dipercayai untuk membeli dadah syabu.

Bagaimanapun katanya, mangsa (ibu) hanya memberikan RM3 sehingga menyebabkan suspek terbabit marah dan mengamuk.

Suspek kemudian mengambil sebatang kayu beruti dari atap rumah lalu melibas kepala ibunya hingga luka dan berdarah.

“Adik kandung suspek yang melihat situasi itu cuba menghalang perbuatan suspek, namun turut dipukul hingga luka di bahagian siku tangan kirinya,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, suspek kemudian bertindak melarikan diri dan membuang kayu beruti berkenaan di belakang rumahnya.

“Bagaimanapun suspek kemudiannya ditangkap oleh orang kampung dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sebelum ditahan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah.

“Siasatan mendapati suspek seorang penagih dadah dan sering mengamuk dan memukul ibunya namun laporan polis tidak pernah dibuat,” katanya.

Katanya, suspek juga tidak bekerja dan sering menagih dadah syabu, selain turut mempunyai empat rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah.

“Ujian air kencing suspek juga mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan,”katanya.

  • oleh
  • Advertisement